KUALA LUMPUR: Di sebalik beberapa Badan Perhubungan Negeri mahu jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan, sebaliknya UMNO Johor menegaskan pemilihan kedua-dua jawatan itu wajar diteruskan demi kelangsungan dan masa depan parti walaupun telah ditetapkan tiada pertandingan.
Jurucakap UMNO Johor, Datuk Pandak Ahmad berkata, sekiranya mahu Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan demi menjaga kestabilan parti, cadangan itu sewajarnya melibatkan semua jawatan di semua peringkat termasuk bahagian dan cawangan.
“Jika betul UMNO mahu perpaduan dan kestabilan, kenapa hanya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden yang tidak dipertandingkan?
“Kenapa bukan semua jawatan-jawatan parti di bahagian-bahagian dan cawangan-cawangan juga tidak dipertandingkan? Barulah perpaduan dan kestabilan parti terjaga,” katanya ketika membahaskan ucapan dasar Presiden UMNO bersempena Perhimpunan Agung UMNO 2022 di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.
Dalam pada itu, beliau hairan bagaimana usul tambahan dibawa Jurucakap Perwakilan Negeri Sembilan semalam agar jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan boleh dibawa kerana bukan sahaja dilakukan tidak sempurna tetapi tidak boleh diteruskan di dalam perhimpunan kerana ia perlu dimurnikan mengikut Perlembagaan dan peraturan mesyuarat.
“Saya pun pelik macam mana usul tambahan ini boleh diterima dan dibahaskan. Mungkin UMNO sekarang dah jadi parti asal boleh agaknya?” Soalnya.
Sebaliknya jelas beliau, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dilihat tiada masalah untuk bertanding apabila berjiwa besar dan sudi berjabat tangan dengan Timbalan Ketua Bahagian UMNO Rembau, Khairy Jamaluddin untuk mempertahan jawatan.
“Tapi semalam, kita pula membahaskan tentang usul tambahan untuk tidak mempertandingkan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden atas nama perpaduan dan kestabilan parti. UMNO Johor ingin bertanya, sampai bila kita ingin menunggang perpaduan atau kestabilan parti,” katanya.
Sementara itu Pandak memberitahu, UMNO Johor mencadangkan agar parti membenarkan badan-badan perhubungan UMNO negeri diberikan peranan lebih signifikan termasuklah pemilihan Pengerusi dan Timbalan Pengerusi mestilah dipilih dalam kalangan barisan Jawatankuasa Perhubungan Negeri dan bukanlah dilantik oleh Presiden.
Beliau menambah, Agenda Melayu perlu disemak semula memandangkan UMNO memilih untuk menyokong kerajaan perpaduan yang dianggotai oleh DAP, PKR dan Amanah. – UTUSAN