Tumpu tiga perkara baiki sistem pendidikan negara

Tumpu tiga perkara baiki sistem pendidikan negara

ANUAR AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan digesa memberi tumpuan terhadap tiga perkara utama dalam soal memperkasakan semula sistem pendidikan negara.

Pensyarah Kanan Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Anuar Ahmad berkata, perkara pertama membabitkan isu beban tugas para guru yang semakin berlebihan, sehingga dikhuatiri menganggu fokus pengajaran mereka di dalam bilik darjah.

“Kesannya adalah kepada kualiti pembelajaran murid-murid. Tindakan mengemaskini beban tugas guru mestilah dilakukan segera supaya semua guru dapat kembali kepada teras perkhidmatan mereka sebagai pengajar di sekolah.

“Semak dan jika perlu mansuhkan program-program ‘aksesori’ di sekolah supaya guru-guru dapat fokus kepada proses pembelajaran murid-murid,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Dalam masa sama, beliau berkata, kerajaan juga harus mengkaji dan menambah baik kurikulum dan silibus semua mata pelajaran khususnya di peringkat sekolah rendah.

“Sistem pendidikan negara sedang menggunakan amalan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) dengan amalan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD). Amalan ini adalah amalan penilaian yang holistik dan berterusan.

“Sedangkan silibus sekolah rendah yang dilaksanakan sejak tahun 2017 adalah kurikulum yang berasaskan pe­periksaan. Sistem pendidikan negara memerlukan silibus dan kurikulum baru yang berasaskan pembelajaran bagi meme­nuhi maksud dan matlamat PBS dan PBD,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, kerajaan juga wajar meningkatkan autonomi, reputasi dan memberikan kepercayaan kepada guru-guru sebagai ahli yang mahir dalam melaksanakan pendidikan negara.

“Komunikasi antara guru dan pihak kepemimpinan sekolah, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mestilah diperkasakan.

Semua pihak berkaitan mestilah lebih terbuka untuk mendengar secara berkesan pandangan guru.

“Berikan ruang untuk guru berkreativiti di dalam bilik darjah. Berikan peluang untuk guru-guru mentaksir murid-murid mereka secara bebas, telus dan bertanggungjawab.

“Berikan autonomi untuk guru-guru melakukan pengajaran dan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) mengikut keadaan yang sebenar tanpa campur tangan mana-mana pihak.

“Apa yang penting, sentiasa latih dan tingkatkan kemahiran PdP dan pentaksiran para guru dalam melaksanakan tanggungjawab mereka secara berkesan dan berintegriti,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN