Treler tak sempat brek punca nahas 10 kenderaan - Utusan Malaysia

Treler tak sempat brek punca nahas 10 kenderaan

KEADAAN kenderaan yang terlibat kemalangan di Kilometer 307.8, Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara dekat Kampar semalam. - UTUSAN/PDRM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAMPAR: Gara-gara tidak sempat menekan brek, sembilan kenderaan menjadi ‘mangsa’ rempuhan sebuah treler di Kilometer 307.8, Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara di sini semalam.

Kejadian sekitar pukul 10.40 malam itu bagaimanapun tidak melibatkan kemalangan jiwa.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, maklumat nahas itu diterima membabitkan tiga treler dan tujuh kereta iaitu sebuah Perodua Alza, Volkswagen, Honda Civic, Toyota Yaris, Perodua Aruz, BMW dan Honda CRV.

Katanya, siasatan awal mendapati kesemua kenderaan tersebut dalam perjalanan dari arah Kuala Lumpur ke utara.

“Ketika melalui laluan berselekoh, treler dipandu lelaki berusia 36 tahun itu tidak sempat menekan brek bagi mengelak kenderaan di hadapan yang berhenti akibat jalan sesak.

“Akibat pelanggaran itu, tujuh kereta dan dua buah treler yang berada di laluan sama telah melanggar belakang setiap kenderaan lain hingga mengalami pelbagai kerosakan,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, kesemua mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh untuk rawatan.

Katanya, kemalangan itu menyebabkan kesesakan kira-kira 10 kilometer namun penyuraian kenderaan selesai dibuat pada pukul 3.15 pagi.

“Setakat ini, hanya pemandu kereta Honda Civic dan Toyota Yaris dilaporkan cedera manakala mangsa lain belum dikenal pasti ekoran telah dihantar ke hospital oleh orang awam.

“Ujian saringan air kencing telah dibuat ke atas pemandu treler berkenaan dan mendapati negatif daripada sebarang pengambilan dadah dan alkohol,” katanya.

Tambah beliau, rakaman percakapan telah dibuat ke atas semua yang terlibat di mana pemandu treler berkenaan turut ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya