Tiada masjid, ulang alik 5 km untuk solat Jumaat - Utusan Malaysia

Tiada masjid, ulang alik 5 km untuk solat Jumaat

ZAHIR Said (kiri) ditemani seorang penduduk menunjukkan papan tanda tapak pembinaan masjid baru di Bandar Mutiara, Sungai Petani. – UTUSAN/OTHMAN YAHAYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Sejak enam tahun lalu, lebih 1,000 penduduk di tiga taman perumahan sekitar Bandar Mutiara, di sini terpaksa berulang alik sejauh lima kilometer untuk menunaikan solat Jumaat di luar kariah kerana kawasan itu tidak mempunyai masjid.

Ketiadaan masjid menyebabkan penduduk Taman Bandar Mutiara, Taman SP Height dan Yara Park dihimpit resah kerana tidak dapat beribadah secara selesa termasuk gagal meng­anjurkan sebarang aktiviti keagamaan untuk merapatkan hubungan di kejiranan itu.

Pengerusi Jawatan Kuasa Penaja Kariah Bandar Mutiara (JKPMKBM), Zahir Said berkata, sejak kawasan perumahan itu dibuka pada 2016, penduduk menjadikan masjid di Batu 2; Jalan Kuala Ketil; Taman Kelisa dan masjid di Bandar Puteri Jaya untuk solat Jumaat.

“Kesemua masjid ini terletak agak jauh daripada kejiranan kami tetapi disebabkan tiada pilihan penduduk terpaksa pergi solat di sana. Mereka juga sering merungut kerana tidak dapat anjur aktiviti keagamaan dalam usaha mengeratkan hubungan sesama kami,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia semalam.

Katanya, tapak untuk pembinaan sebuah masjid telah diluluskan oleh Majlis Agama Islam Kedah (MAIK) di atas Lot 12946 di Taman Bandar Mutiara tetapi disebabkan ketiadaan dana mencukupi, projek itu tidak dapat dilaksanakan sehingga kini.

“Tapak masjid seluas 10,100 meter persegi telah sedia ada tetapi kita kekurangan sumber kewangan untuk membangunkan sebuah masjid bernilai RM6 juta menyebabkan projek itu tidak dapat bermula walaupun taman perumahan di sini telah mula diduduki sejak enam tahun lalu. “Kami pernah membuat kutipan daripada penduduk tetapi ianya masih tidak mencukupi dan memerlukan sumbangan derma daripada orang ramai atau syarikat-syarikat korporat untuk membinanya,” katanya.

Kata Zahir, jika masjid itu berjaya dibina kelak ia mampu menampung lebih 1,000 jemaah untuk solat Jumaat dan solat fardu selain mampu menjadi lokasi untuk sebarang aktiviti keagamaan yang boleh mengimarahkan kawasan itu.

“Masjid ini bukan sahaja untuk beribadah tetapi turut memberi peluang kepada penganjuran aktiviti kerana merangkumi dewan makan, bilik pengurusan jenazah khas, dewan seminar dan medan selera,” ujarnya.

“Sehubungan itu, kami merayu sumbangan derma untuk pembinaan masjid ini agar anak-anak kariah di tiga kawasan taman perumahan di sini dapat beribadah dengan lebih selesa selepas lama menggunakan masjid di luar kariah,” katanya.

Menurut Zahir, sumbangan boleh disalurkan ke akaun Bank Islam 02020010083756 atas nama JKPMKBM atau menghubunginya di talian 013-5908406, selain merujuk Timbalan Pengerusi JKPMKBM, Hanizan Shakir Hussain (017-5252050) atau Setiausaha, Noor Hilmi Noor Lajis (019-9105498) untuk sebarang pertanyaan.- utusan

 

 

 

 

UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya