Tiada GST, cukai baharu - Timbalan Menteri - Utusan Malaysia

Tiada GST, cukai baharu – Timbalan Menteri

GST cukai
AHMAD Maslan dalam sidang akhbar selepas merasmikan Konvensyen Akauntan Nasional 3.0 di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Tiada cukai baharu akan diperkenalkan atau pengenalan semula Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dalam usaha meningkatkan pendapatan kerajaan terutama ketika mendepani cabaran ekonomi global serta pasca Covid-19.

Sebaliknya, perkemasan kaedah kutipan cukai sedia ada perlu dilakukan serta mengekang tindakan-tindakan ketirisan dan jenayah yang boleh menyebabkan pendapatan negara terjejas seperti penyeludupan.

Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, pendapatan kerajaan perlu ditambah dan dalam masa sama mengurangkan hutang kerajaan, namun tidak semestinya dengan mengenakan cukai baharu.

“Usaha-usaha ke arah itu sedang dibuat saya ambil contoh kecil, misalnya jika kita boleh mengurangkan keterisian dari segi penyeludupan. Ada yang menyebut pelarian cukai daripada rokok ini kira-kira RM5 bilion.

“Jadi kalau kita mengetatkan segala perkara yang berhubung pelarian cukai rokok, penyeludupan rokok maka tanpa sebarang segala cukai baharu, kerajaan boleh mendapat pertambahan sebanyak RM3 bilion hingga RM5 bilion,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Konvensyen Akauntan Nasional 3.0, hari ini.

Beliau menambah, selain penguatkuasaan oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) perlu memainkan peranan untuk melaksanakan perundingan dengan sektor swasta untuk memperkasakan cukai sedia ada.

Utusan Malaysia pada Khamis lalu melaporkan GST tidak sesuai dilaksanakan tahun ini disebabkan rakyat masih lagi terkesan dan bergelut dengan kenaikan kos sara hidup serta kadar faedah yang tinggi.

Ketua Ahli Ekonomi Maybank Investment Bank Bhd (Maybank IB), Suhaimi Ilias berkata, pihaknya menjangkakan kerajaan tidak akan memperkenalkan semula GST dalam Bajet 2023 yang akan dibentang pada Februari ini.

Dalam pada itu, Ahmad Maslan sekali lagi menegaskan tiada perbincangan atau mesyuarat berkaitan GST dalam kerajaan, namun tidak menolak jika terdapat pembaharuan terhadap dasar cukai diumumkan dalam pembentangan Bajet 2023 pada 24 Februari nanti.

“Saya tidak boleh kata begitu (perancangan cukai baharu) sebab bajet sedang disiapkan dan hari ini baru 11 Januari, ada sebulan lebih lagi sebelum bajet. Jadi saya tidak boleh menyebut dan nyatakan tidak ada itu dan ini (cukai baharu).

“Jadi semuanya sedang disiapkan dalam tempoh ini sehinggalah pada Jumaat petang itu barulah siap. Jadi hendak kata tidak ada itu dan ini tidak boleh sebut,” jelasnya.

Bagaimanapun, beliau tidak menolak GST masih lagi cukai terbaik yang dilaksanakan di 170 negara seluruh dunia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya