Terserah kepada Tun Juhar tentukan parti peroleh majoriti - Shafie Apdal

Terserah kepada Tun Juhar tentukan parti peroleh majoriti – Shafie Apdal

MOHD. Shafie Apdal (dua kiri) bersama pemimpin dan ADUN Warisan semasa sidang akhbar di Kota Kinabalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Tidak semestinya Parti Warisan (Warisan) menjadi kerajaan, ia terserah kepada Yang Dipertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin untuk menentukan parti yang memperoleh sokongan majoriti.

“Saya tidak cakap mesti Warisan (jadi kerajaan), ia terserah kepada TYT (Yang Dipertua Negeri) untuk menentukan parti yang memiliki majoriti,” demikian kata Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Parti Warisan hari ini.

Beliau berkata, keadaan yang berlaku sekarang bukan mengenai sokongan yang mencukupi atau tidak tapi, ia mengenai pematuhan perundangan dan Perlembagaan Negeri Sabah yang telah dilanggar oleh Hajiji selepas keluar dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Ketika ini, Datuk Seri Hajiji Noor telah hilang keabsahan sebagai Ketua Menteri selepas beliau tidak lagi menjadi ketua parti. Maka, Hajiji harus meletakkan jawatan selaras dengan peruntukan Perkara 6 (7) Perlembagaan Negeri Sabah.

Menurut Mohd. Shafie, tidak perlu ada gesaan agar Hajiji meletak jawatan kerana dari segi perundangan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) itu telah hilang keabsahan sebagai Ketua Menteri.

Menurut Mohd. Shafie, sekiranya Hajiji memahami dan mematuhi undang-undang dan menghormati Perlembagaan Negeri Sabah maka, dia harus meletak jawatan.
Sejak Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah 2020, Warisan masih menjadi parti tunggal dengan kerusi terbesar iaitu dengan 19 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Mohd. Shafie, yang juga Ahli Parlimen Semporna itu berkata, tiada sesiapa yang boleh mengesahkan bahawa Hajiji mempunyai kepercayaan majoriti ADUN.

Beliau berkata, setiap ADUN mempunyai hak untuk memilih mana-mana ADUN yang dirasakan layak untuk menjadi Ketua Menteri Sabah dengan mengesahkan sokongan mereka kepada Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin.

Jelas beliau, krisis politik yang melanda negeri Sabah pada ketika ini berpunca daripada tindakan Hajiji sendiri dalam usaha beliau untuk mengekalkan jawatan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) apabila Perikatan Nasional (PN) dan Bersatu gagal membentuk kerajaan Persekutuan.

Mengenai dakwaan untuk membentuk kerajaan bersama Barisan Nasional (BN), perkara itu hanya akan dilihat kemudian kerana isu perundangan mengenai kedudukan Hajiji perlu dipatuhi terlebih dahulu.

Sekiranya ia tidak dipatuhi dikhuatiri akan berlaku pergeseran politik pada kemudian hari. Jadi, beliau akan berunding dengan mana-mana pihak agar dapat menstabilkan politik negeri Sabah secepat mungkin.

Sejak tiga hari lalu, timbul khabar angin Warisan dan BN Sabah masih mengadakan perundingan bagi membentuk kerajaan baharu dan semalam, Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar mengumumkan 13 ADUN BN menarik sokongan daripada kerajaan negeri Sabah berkuat kuasa serta-merta. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya