Kerajaan digesa tambah baik Akta Insolvensi 

Tambah baik Akta Insolvensi 

NADZIM Johan (dua dari kiri) bersama Effandie Ahmad (tiga dari kiri) memperkenalkan buku Bankrap Bukan Muflis.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menggesa kerajaan menambah baik pindaan Akta Insolvensi 1967 pada 2017 untuk membela nasib golongan yang dihukum bankrap.

Ketua Aktivisnya, Datuk Nadzim Johan berkata, setakat November tahun lalu, seramai 270,234 orang diisytihar bankrap dan mereka seolah-olah tidak mempunyai masa depan kerana terus berada dalam keadaan tidak berupaya untuk bangkit semula.

Katanya, kerajaan perlu memberikan dinamisme dalam undang-undang bankrap supaya boleh ditadbir urus dengan lebih baik bagi membolehkan golongan itu lebih produktif.

“Golongan belia dan warga emas yang bankrap menerima kesan teruk sehingga ada yang kini masih berstatus bankrap walaupun berumur 75 tahun.

“Berbanding golongan bankrap yang dijatuhi hukuman selepas Oktober 2017, mereka menerima beberapa penambahbaikan dalam pindaan Akta Insolvensi seperti peruntukan Seksyen 33C iaitu Pelepasan Automatik selepas tiga tahun bankrap dan lapan pindaan lain dalam pindaan itu,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Nadzim berkata, golongan bankrap sebelum pindaan itu dibuat biasanya perlu menunggu sehingga 15 tahun pentadbiran kes di Jabatan Insolvensi Malaysia sebelum layak memohon bebas bankrap.

Kata beliau, sepatutnya golongan bankrap khususnya belia diberi peluang kedua, manakala golongan warga emas perlu dibebaskan secara automatik kerana faktor umur dan kesihatan mereka.

“Oleh itu, antara cadangan penambahbaikan adalah kerajaan perlu menguatkuasakan Seksyen 33C tanpa melihat tahun hukuman dijatuhkan dan meluaskan pembebasan Sijil Ketua Pengarah Insolvensi Seksyen 33A kepada semua golongan bankrap yang memohon.

“Ini kerana kira-kira satu atau tiga orang sahaja daripada 100 orang yang memohon mendapat kelulusan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Pengerusi Persatuan Kontraktor Jentera Mekanikal dan Elektrikal Melayu Malaysia (Baru), Datuk Seri Mohd. Effandie Ahmad yang turut hadir berkata, kebanyakan golongan bankrap bukan tidak mampu membayar hutang, tetapi tidak mempunyai masa yang mencukupi berikutan pelbagai halangan seperti pandemik Covid-19.

“Semasa pandemik, ramai orang bankrap kerana bank tidak membenarkan penstrukturan semula dengan memanjangkan tempoh hutang dan mengurangkan bayaran bulanan.

“Bank sepatutnya menunjukkan belas ihsan dengan penstrukturan semula hutang kerana bank tidak akan mengalami apa-apa kerugian pun, sebab masih mendapat faedah daripada hutang,” katanya.

Tambahnya, tekanan yang dialami golongan bankrap itu menyebabkan pelbagai kesan seumur hidup, malah ada yang bunuh diri dan perpecahan rumah tangga. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.