KUALA LUMPUR: Penyanyi Nabila Razali enggan mengambil pusing kecaman dan hentaman netizen yang sering mempertikai kemampuan nyanyiannya.
Kata bakat yang dicungkil menerusi program realiti, Akademi Fantasia musim ke-10 itu, dia sebaliknya mahu memberikan yang terbaik untuk peminat yang menghargai bakat dimilikinya.
“Kita tidak boleh tutup mulut orang. Haters akan terus membenci, jadi tidak perlu beri perhatian kepada mereka.
“Lebih baik saya tumpukan perhatian untuk menggembirakan peminat yang sentiasa menghargai saya.
“Haters akan terus membenci, manakala peminat pula akan tetap menyokong. Jadi, saya akan terus menyanyi untuk peminat,” katanya.
Nabila sering dihentam netizen yang terus mencari kesalahannya ketika menyanyi secara live di atas pentas, terutama selepas insiden ketika mempersembahkan lagu Peluang Kedua pada Anugerah Juara Lagu Ke-35 (AJL35).
Kata Nabila lagi, dia serius berusaha memperbaiki mutu nyanyian dan tidak pernah berhenti mengikuti kelas vokal.
“Saya tidak pernah berhenti, malah masih meneruskan kelas vokal. Ini bukan perkara yang saya lakukan semata-mata untuk pertandingan besar seperti AJL sahaja.
“Insiden yang berlaku sewaktu AJL35 membuka mata saya untuk terus memperbaiki nyanyian.
“Saya ingin tekankan saya memang serius mahu menjadi penyanyi yang boleh menyanyi dengan baik,” jelasnya.