KAJANG: Dasar yang mewajibkan pendidikan menengah merupakan antara langkah yang diambil Kementerian Pendidikan (KPM) bagi mengatasi isu ketidakhadiran calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, kementerian juga akan menilai semula program-program sokongan bagi memastikan pelajar terus meneruskan pengajian dan kehadiran ke sekolah.
“Bagi calon yang masih tidak hadir, jumlahnya menurun, tetapi langkah intervensi perlu diteruskan di semua peringkat. Kewajipan sekolah menengah dan program sokongan akan memberikan kesan keseluruhan yang positif.
“Kehadiran pelajar sangat penting dan langkah intervensi ini akan dilaksanakan secara berterusan.
“Walaupun terdapat penurunan, masih ada perkara yang perlu diberikan perhatian serius oleh semua peringkat termasuk di peringkat Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan sekolah,” katanya kepada pemberita selepas meninjau Majlis Pengumuman SPM 2025 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tinggi Kajang, hari ini.
Fadhlina berkata, bagi intervensi khusus, pendekatan ‘accountability’ diperkenalkan di peringkat pengetua untuk memastikan kehadiran pelajar, sistem sokongan sosial dan ekonomi bagi mereka yang memerlukan.
Katanya, antara intervensi yang dilaksanakan oleh KPM untuk mengatasi isu ketidakhadiran adalah memantau kehadiran murid ke sekolah secara harian dan mengaktifkan Pasukan Petugas Intervensi Murid Berisiko Cicir SPM pada semua peringkat.
“Selain itu, mengadakan Dialog Prestasi Nasional, melaksanakan aktiviti berfokus seperti Program Ziarah Cakna dan bekerjasama dengan pelbagai agensi awam dan swasta bagi menangani isu ketidakhadiran calon ke sekolah.
“Intervensi dan inisiatif sedia ada akan diteruskan serta ditambah baik untuk memastikan kehadiran calon semasa peperiksaan SPM semakin meningkat.
“Justeru, KPM telah melaksanakan pengesanan awal murid berisiko cicir dalam kalangan murid Tingkatan 4 bagi memastikan mereka akan hadir menduduki peperiksaan SPM Tahun
2026,” katanya.
Mengulas mengenai jurang pencapaian SPM 2025 antara kawasan bandar dan luar bandar, Fadhlina berkata, perkara tersebut menjadi keutamaan KPM dan jurang itu berjaya dikurangkan hasil komitmen kerajaan Madani dalam memastikan sekolah kondusif melalui program sekolah daif, penyelenggaraan serta perhatian khusus kepada sekolah padat.
“Alhamdulillah, jurang itu dapat kita kecilkan dan sebagai kerajaan, kita komited untuk terus merapatkan jurang ini khususnya dari segi suasana pembelajaran yang kondusif dan fasiliti yang lebih baik untuk anak-anak kita,” katanya.
Terdahulu, analisis keputusan SPM 2025 mencatatkan ketidakhadiran seramai 7,099 calon bagi semua mata pelajaran.
Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr. Mohd. Azam Ahmad dilaporkan berkata, angka ketidakhadiran itu membabitkan 1.79 peratus daripada 395,740 calon baharu yang berdaftar sekurang-kurangnya enam mata pelajaran dalam peperiksaan SPM 2025.
Katanya, jumlah itu menurun berbanding 8,108 calon pada 2024 sekali gus menunjukkan perkembangan yang positif. – UTUSAN










