BANGI: Hujan yang dijangka berlaku sepanjang tempoh peralihan monsun ketika ini amat penting bagi meningkatkan paras air empangan sebelum negara memasuki Monsun Barat Daya yang lazimnya membawa taburan hujan lebih rendah.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Dr. Mohd. Hisham Mohd. Anip berkata, tempoh peralihan monsun bermula pada 29 Mac lalu dijangka berlangsung kira-kira sebulan setengah hingga Mei ini.
Katanya, dalam tempoh tersebut kebanyakan kawasan dijangka menerima hujan ribut petir pada sebelah petang yang boleh membantu meningkatkan paras air di empangan.
“Jadi dalam tempoh itu kita harap hujan dapat dikumpul oleh empangan-empangan ini untuk dia (paras air) naik balik. Sebab selepas pada itu akan masuk Monsun Barat Daya yang memang kurang hujan.
“Dalam tempoh sebulan setengah, dua bulan ini, jika tidak diisi dengan air hujan yang banyak, jadi mungkin akan ada masalah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Sambutan Hari Meteorologi Sedunia 2026 di Dewan Canselor Tun Abdul Razak, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), di sini hari ini.
Tambahnya, jumlah taburan hujan yang diterima ketika ini juga dilihat sedikit rendah berbanding paras purata biasa berdasarkan rekod lalu.
Bagaimanapun katanya, keadaan itu tidak terlalu membimbangkan kerana hujan masih berlaku walaupun kuantitinya tidak sebanyak kebiasaan
“Kalau kita tengok rekod, bacaan hujan kita sedikit di bawah paras biasa. Maknanya rendah tapi tidaklah kurang banyak sangat.
“Nak kata nak gusar sangat pun tidak perlu sebab bukannya tiada hujan langsung. Hujannya ada cuma tidak banyak seperti yang kelaziman kita terima. Sekarang ni kita harap hujung bulan tiga, bulan empat ni banyak hujanlah,” katanya
Susulan itu, kata Mohd. Hisham, kejadian banjir kilat juga berpotensi berlaku dalam tempoh peralihan monsun berikutan ribut petir yang menghasilkan hujan berintensiti tinggi dalam tempoh singkat.
“Sebab fasa peralihan monsun, awan ribut petir dengan hujan intensiti tinggi dalam masa singkat.
“Jadi, banjir kilat memang tidak boleh nak elak. Banjir lama tiada sebab hujan dia sekejap sahaja. Sejam paling lama pun dua jam,” katanya. – UTUSAN










