PUTRAJAYA: Seramai 40 penjawat awam dari pelbagai agensi dan jabatan serta kementerian diraikan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atas jasa mereka membantu membanteras rasuah di negara ini.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, mereka terdiri daripada pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC).
Beliau berkata, pegawai lain terdiri daripada mereka yang berkhidmat di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Mereka turut diberikan sijil pengiktirafan dan ganjaran wang tunai. Mereka yang diraikan pada hari ini diraikan atas tindakan melaporkan penawaran atau pemberian rasuah kepada SPRM bagi tahun 2022.
“Penghargaan ini adalah berdasarkan keputusan mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Keutuhan Pengurusan Kerajaan (JKKMKPK) yang dipengerusikan Perdana Menteri pada 19 Ogos 2010,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Amanat Tahun Baru dan Perhimpunan Bulanan SPRM di sini, hari ini.
Katanya, inisiatif ini diperkenalkan selaras usaha dan komitmen kerajaan memerangi jenayah rasuah sebagaimana ditetapkan dalam bidang keberhasilan utama negara (NKRA).
Dalam pada itu, Azam berkata, beliau mahu warga SPRM supaya terus merungkai isu rasuah di negara ini kerana kesannya akan diterima oleh rakyat secara tidak langsung.
Katanya, antara isu-isu ini yang perlu ditangani termasuk isu keterjaminan makanan dan kartel dalam perolehan yang menjadi rungutan rakyat selama ini.
“Rasuah dalam penguatkuasaan masih lagi menjadi igauan rakyat dan kita (SPRM) kena berfikir apakah tindakan kita yang lepas sudah mencukupi untuk mengurangkan masalah ini.
“Kerana itu, kaedah lebih berkesan seperti mewujudkan pasukan siasatan khas dengan agensi-agensi lain bagi menangani isu sindiket jenayah dan penggunaan kaedah siasatan proaktif perlu dipergiatkan,” katanya.
Katanya, penjenayah terbabit bukan sahaja perlu dibawa ke muka pengadilan tetapi harta diperoleh secara jenayah perlu dirampas dan dikembalikan semula kepada rakyat.
Jelasnya lagi, strategi SPRM dalam memerangi rasuah dan salah guna kuasa untuk mengurangkan ketirisan dalam tiga sektor rasuah masih lagi relevan, namun tidak boleh berada ditakuk lama.
“Kaedah-kaedah baru dalam penyiasatan, perisikan, pencegahan dan pendidikan masyarakat perlu dilihat semula atau diperbaharui supaya kita tidak ketinggalan,” katanya. – UTUSAN










