JASIN: Sindiket dadah antarabangsa yang menjadikan sebuah rumah di Serkam, Merlimau di sini sebagai gudang penyimpanan dadah bernilai RM3.8 juta berjaya ditumpaskan polis, Rabu lalu.
Dalam serbuan berasingan di tiga lokasi di negeri ini serta satu di Petaling Jaya, Selangor, polis berjaya menahan lapan suspek berusia antara 28 hingga 48 tahun.
Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, kejayaan besar melibatkan kerjasama Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka dengan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman itu berjaya merampas syabu seberat 82.64 kilogram (kg) dan 16.62 kg pil ekstasi dipercayai untuk kegunaan pasaran luar negara.
Katanya, sindiket berkenaan turut didalangi seorang nelayan tempatan berumur 43 tahun yang ditahan bersama isterinya berusia 28 tahun.
“Tangkapan pertama melibatkan lima individu termasuk dua pasangan suami isteri yang ditahan di Serkam pada pukul 3 petang.
“Tiga suspek termasuk sepasang suami isteri telah ditahan dalam dua buah kereta di hadapan sebuah rumah dan dua lagi suspek diberkas dalam serbuan dalam kediaman berkenaan.
“Hasil pemeriksaan dalam rumah terbabit menjumpai empat guni mengandungi dadah jenis syabu seberat 82.64 kg bernilai RM2,975,040 dan satu guni serta dua bungkusan (parcel) mengandungi pil ekstasi seberat 16.62 kg bernilai RM831,000,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin di sini, hari ini.
Tambah Zainol, pihaknya turut merampas tiga buah motosikal, empat kereta, barang kemas, wang kertas RM2,114 dan wang kertas mata wang asing bernilai RM283,770.60.
Beliau berkata, bagaimanapun ujian saringan air kencing ke atas semua suspek didapati negatif dadah, namun dua daripada mereka mempunyai rekod lampau berkaitan kes dadah dan curi.
“Dalam serbuan kedua dan ketiga polis berjaya menahan suspek berusia 39 dan 47 tahun di Permatang Serai dan Kampung Pulai, Merlimau.
“Serbuan terakhir dibuat di Kota Damansara melibatkan suspek lelaki berusia 48 tahun yang ditahan pada pukul 8.30 malam, hari sama. Kita percaya kesemua mereka terlibat dalam sindiket pengedaran dadah keluar negara dan telah aktif sejak awal tahun 2022,” katanya. – UTUSAN










