Silaj, alternatif makanan kepada ternakan ruminan

Silaj, alternatif makanan kepada ternakan ruminan

DR. Shokri Jusoh memberikan silaj kepada ternakan kambing di Unit Ruminan, Ladang 15 UPM, Serdang
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Terkesan dengan kekurangan bekalan makanan seperti daging berikutan penularan wabak Covid-19, pemberian rumput napier atau rumput gajah dalam bentuk silaj antara alternatif makanan kepada ternakan ruminan.

Ini kerana, penularan virus yang melanda dunia itu menyaksikan penternak ruminan juga terkesan dengan jaminan sekuriti makanan apabila harga makanan dedak dan pelet semakin meningkat di pasaran dan mereka terpaksa menanggung kos operasi tinggi dan silaj adalah antara alternatif terbaik bagi menggantikan dedak dan pelet.

Silaj adalah merupakan makanan ternakan ruminan yang terhasil melalui proses pemeraman atau penapaian rumput napier dalam keadaan kedap udara yang boleh disimpan lama dan dijadikan sebagai stok bekalan makanan.

Pakar Sains Pastura, Fakulti Pertanian Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Shokri Jusoh berkata, silaj yang dibuat dengan sempurna dan dalam keadaan bermutu boleh disimpan untuk jangka masa yang panjang tanpa merosot kandungan nutrisinya.

“Silaj ini boleh disimpan dalam tempoh yang lama bahkan bertahun mengikut cara penyimpanan yang betul dan perkara paling penting ialah bekas penyimpanan rumput ter

sebut perlu kedap udara.

“Tempoh pemeraman ini perlu dilakukan selama dua minggu sebelum diberikan kepada ternakan, tetapi ia masih boleh diberikan lebih awal daripada tempoh tersebut namun perlu dihabiskan dalam tempoh dua hari sekiranya silaj telah dibuka bagi mengelakkan kerosakan,” katanya.

Beliau berkata, penghasilan silaj ini dapat membantu penternak atau pengusaha rumput napier dalam melakukan pemotongan rumput mengikut had umur tuaian.

“Kadang-kadang pengeluaran rumput ini lebih daripada yang diperlukan sebab jika tidak dituai dalam masa sebulan setengah, ia akan menjadi lebih keras dan tua bahkan kandungan nutrien juga semakin menurun.

“Tempoh lima hingga enam minggu merupakan umur rumput napier sesuai untuk dituai dan uniknya rumput jenis ini, kita boleh potong secara berulangan kerana ia akan tumbuh kembali selepas dipotong,” jelasnya.

Menurutnya, silaj juga sering dibuat dalam skala yang besar di negara yang bermusim sejuk kerana pada musim salji ia boleh merencatkan pertumbuhan rumput manakala di Malaysia pula, kebiasaannya hasil penyimpanan silaj ini akan memudahkan dan membantu penternak sewaktu bencana seperti musim banjir, kemarau mahupun musim perayaan.

Shokri menambah, proses penghasilannya juga mudah dimana setelah rumput napier dikumpul dan dipotong, ia akan diracik atau dicincang menjadi lebih kecil menggunakan mesin pemotong kemudian disimpan dalam bekas penyimpanan.

“Mesin perincih sangat diperlukan bagi memudahkan proses rumput untuk dipek di dalam plastik atau tong sebab kita perlu mengeluarkan sebanyak mungkin udara daripada bekas penyimpan.

“Silaj boleh ditambah gula merah atau molasses yang akan meningkatkan kemanisan pada makanan ini serta menambah selera makan haiwan ternakan,” katanya.

Dalam pada itu, keperluan rumput napier dalam penghasilan silaj bagi menjamin sekuriti makanan ini membuka satu industri tanaman baharu.

“Pengusaha rumput napier yang melihat kepentingan dan menyedari bekalan makanan ternakan ruminan kurang di pasaran boleh menambah pendapatan dengan menjual silaj.

“Usaha ini pastinya dapat membantu penternak mendapatkan bekalan makanan yang mencukupi bahkan mengurangkan kos makanan ternakan ruminan dan boleh menambah jumlah pengeluaran bekalan daging,” ulasnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya