Sikap ‘cop parkir’ peniaga Pantai Klebang rimaskan pengunjung

Sikap ‘cop parkir’ peniaga Pantai Klebang rimaskan pengunjung

PELBAGAI barangan seperti baju diletakkan oleh peniaga hingga menghalang orang ramai meletakkan kenderaan di Pantai Klebang, Melaka. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Tindakan peniaga menghalang petak parkir dengan meletakkan barangan jualan, meja, kerusi dan kon semakin berleluasa di kawasan tumpuan pelancong di Pantai Klebang dekat sini.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, tindakan itu menyebabkan ramai pengunjung sukar mencari parkir untuk beriadah di pantai berkenaan terutama semasa cuti perayaan Tahun Baru Cina.

Senario itu sudah berlarutan sekian lama kerana difahamkan tiada tindakan tegas diambil oleh penguatkuasa Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), seolah-olah diberikan ‘lampu hijau’ untuk mereka bertindak sewenang-wenangnya.

Seorang pengunjung, Rosman Leman, 52, dari Kuala Lumpur berkata, peniaga tidak sepatutnya meletakkan barangan jualan di petak parkir yang disediakan untuk kenderaan.

Menurutnya, sikap mementingkan diri sedemikian menyukarkan orang awam meletakkan kenderaan di lot yang disediakan pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Saya tidak faham dengan sikap peniaga kerana lot gerai atau khemah untuk mereka berniaga cukup luas, mengapa lot parkir dihalang dengan meletakkan barangan jualan mereka.

“Sudahlah susah hendak cari parkir di kawasan ini kerana kawasan ini menjadi tumpuan orang ramai berkunjung, saya sendiri terpaksa mengambil masa 20 minit sebelum dapat parkir,” katanya ketika ditemui.

Berdasarkan maklumat dikongsikan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), hukuman bagi pesalah cop parkir ditetapkan di bawah Seksyen 119 yang membawa penalti tidak lebih RM2,000 atau penjara tidak lebih enam bulan bagi kesalahan pertama.

Bagi kesalahan seterusnya, pesalah boleh didenda sehingga RM4,000 atau penjara tidak lebih 12 bulan.

Seorang lagi pengunjung, Rozita Abdul Rahman, 58, juga dari Kuala Lumpur berkata, pihak berkuasa sepatutnya memantau perkara itu agar mereka yang terlibat tidak terus ‘besar kepala’ mengambil kesempatan, seolah-olah tempat parkir awam di situ menjadi milik mereka sepenuhnya.

“Setiap kali saya berkunjung ke sini pada cuti hujung minggu masalah parkir paling teruk. Kalau parkir sedia ada tidak diletakkan pelbagai barang ia lebih mudah.

“Situasi itu sudah lama berlarutan kerana sikap peniaga mengambil banyak petak parkir bagi meletakkan barangan jualan mereka. Sepatutnya pihak MBMB perlu mengambil tindakan tegas agar peniaga tidak sewenang-wenangnya menghalang petak parkir,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya