Sidang media untuk dapat penjelasan - Rafizi

Kenyataan didakwa fitnah: Sidang media untuk dapat penjelasan – Rafizi

rafizi
RAFIZI RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli berpendirian, beliau membuka perbincangan awam yang sihat dalam sidang media bagi mendapat penjelasan berhubung ketelusan Kerajaan Caretaker memberi projek bernilai besar tanpa melalui proses tender, sebaliknya menerusi rundingan terus.

Ahli Parlimen Pandan itu menegaskan, beliau juga membawakan persoalan sama ada wajar bagi kerajaan memberi projek kepada syarikat sama yang menerima pelbagai projek di bawah kementerian serupa.

Menurut beliau, selain isu rundingan terus, isu lain yang diketengahkan adalah sama ada kerajaan ikhlas dan tegas dalam menghentikan usaha untuk memberikan projek di dalam tempoh pemerintahan Kerajaan Caretaker.

Rafizi menyatakan demikian ketika menjawab tuntutan saman yang dikemukakan bekas Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA), Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (plaintif) yang mendakwa beliau mengeluarkan kenyataan fitnah pada dua sidang media, tahun lalu.

Kenyataan itu yang dibuat di Ibu Pejabat PKR di Petaling Jaya, turut disiarkan secara langsung di YouTube defendan (Rafizi) pada 7 dan 9 November 2022.

Dalam penyataan pembelaan yang difailkan pada 28 Disember 2022, Rafizi berkata, kenyataan media itu bukan `tuduhan’ sebaliknya lebih berbentuk jemputan, saranan atau permintaan supaya plaintif memberi penjelasan berkenaan perkara yang dibangkitkan.

“Saya menyatakan pihak yang menerima manfaat daripada kenyataan media itu adalah rakyat dan pembayar cukai, dan salah bagi plaintif (Tuan Ibrahim) melihat semua ini dari sudut pandangan prisma yang sempit seolah-seolah ini isu peribadi di antara saya dengannya.

“Niat sebenar saya membuat kenyataan media adalah untuk menjemput dan mendorong plaintif memberi penjelasan berkenaan kenyataan media itu dan membawa isu mengenai ketelusan pihak berkuasa menganugerahkan kontrak pelaksanaan projek kepada perhatian umum,” katanya.

Melalui saman difailkan pada 17 November 2022, Tuan Ibrahim mendakwa Rafizi mengeluarkan kenyataan fitnah yang mendakwa plaintif meluluskan projek Rancangan Tebatan Banjir Sungai Langat 2 bernilai RM2 bilion secara rundingan terus kepada syarikat Mangkabumi Sdn. Bhd.

Sementara itu, Rafizi berkata, sidang media itu juga bertujuan menyedarkan rakyat mengenai pengurusan perolehan kerajaan dalam tempoh Kerajaan Caretaker dan isu ketelusan dalam perbelanjaan dana awam yang membabitkan isu kepentingan awam.

Beliau mempunyai maklumat bahawa terdapat komunikasi dan proses untuk menganugerahkan projek tertentu di bawah KASA kepada syarikat Mangkubumi sedang berjalan di dalam tempoh Kerajaan Caretaker.

Katanya, selaku Menteri KASA, Tuan Ibrahim seharusnya menyahut cabarannya untuk memberi penjelasan.

“Usaha saya bukanlah berniat jahat. la selaras hak saya untuk menyuarakan pendapat dan pandangan sebagai ahli politik, rakyat dan seorang pembayar cukai dan ia dilindungi di bawah Perkara 10(1) (a) Perlembagaan Persekutuan.

Sementara itu, Tuan Ibrahim yang membalas pembelaan Rafizi berkata, Menteri Ekonomi itu membuat dakwaan palsu atas kapasitinya sebagai ahli politik dan calon Parlimen Pandan ketika berkempen untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) dan cuba menjadikan kenyataaan fitnah berkenaan sebagai bahan kempen.

Ahli Parlimen Kubang Kerian itu berkata, ia dikuatkan lagi melalui dakwaan Rafizi yang mengakui tidak berniat membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Katanya, Rafizi tidak ada sebarang niat untuk memberi maklumat kepada masyarakat awam melainkan untuk membuat tuduhan ke atasnya bagi manfaat politik dan diri sendiri.

Sementara itu, peguam Yusfarizal Yussoff yang mewakili Tuan Ibrahim memaklumkan bahawa Mahkamah Tinggi menetapkan 31 Mac ini untuk pengurusan kes. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya