"Sepatutnya saya gembira atas pembebasan ini, tapi saya sedih" - Utusan Malaysia

“Sepatutnya saya gembira atas pembebasan ini, tapi saya sedih”

SHAHRIR Ab. Samad hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi perbicaraan kes gagal mengisytiharkan wang RM1 juta yang diterima daripada Najib Tun Razak. - UTUSAN/FAUZI BAHARUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: “Hari ini nama saya dan UMNO sudah dibersihkan, bukan atas permintaan kita sebaliknya pihak pendakwaan sendiri yang tidak berhasrat untuk meneruskan kes.

“Sepatutnya saya gembira atas pembebasan ini, tapi saya sedih, sebab kes ini telah memberi gambaran kepada rakyat, bahawa saya seorang Ahli Parlimen dan pemimpin UMNO yang tidak berintegriti,” kata bekas Ahli Parlimen Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Ab. Samad.

Bekas Pengerusi Felda itu berkata demikian sejurus selepas dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini daripada pertuduhan gagal mengisytiharkan RM1 juta yang diterima daripada Datuk Seri Najib Tun Razak kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Ketika ditemui wakil media di lobi mahkamah, beliau turut menyifatkan pertuduhan terhadapnya adalah tidak munasabah dan agak longgar.

Katanya, dalam prosiding terdahulu, pengawai penyiasat Penolong Penguasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nurzahidah Yacop telah mengesahkan pendakwaan terhadapnya dilakukan tanpa siasatan yang menyeluruh.

“Saya buat kerja dengan ikhlas malah saya sudah maklumkan kepada pihak berkuasa, kenapa saya ambil wang itu dan mengapa saya minta tolong daripada Najib,” katanya.

Shahrir berkata, semua itu dilakukan ketika beliau memikul tanggung jawab sebagai seorang Ahli Parlimen demi membantu masyarakat miskin termasuk membina rumah baharu.

Pada prosiding tersebut, Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin melepas dan membebaskan Shahrir daripada pertuduhan gagal mengisytiharkan RM1 juta yang diterima daripada Najib selepas pihak pendakwaan tidak berhasrat meneruskan kes.

Bekas Perdana Menteri dijadual memberi keterangan hari ini selaku saksi pendakwaan ke-23 pada perbicaraan tersebut manakala Nurzahidah selaku saksi pendakwaan ke-22 belum selesai disoal balas oleh pihak pembelaan.

Kes itu kini di peringkat penghujung selepas 22 saksi pendakwaan memberi keterangan manakala perbicaraan bermula pada 26 Julai 2022.

Bekas Pengerusi Felda itu diwakili Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin, Tan Sri Dzulkifli Ahmad dan Datuk Syed Faisal Al-Edros Syed Abdullah Al-Edros manakala Timbalan Pendakwa Raya Rasyidah Murni Azmi hadir bagi pihak pendakwaan.

Shahrir, 73, didakwa melibatkan diri dalam pengubahan wang haram dengan tidak melaporkan pendapatan sebenar dalam borang cukai pendapatan.

Tindakan itu didakwa bertentangan dengan Seksyen 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967, iaitu tidak mengisytiharkan pendapatan diterima daripada Najib berjumlah RM1 juta melalui sekeping cek yang kemudian dimasukkan ke dalam akaun bank miliknya.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Cawangan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim di sini pada 25 April 2014.

Shahrir didakwa mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM5 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.