Sembilan jam tunggu buat pasport

Sembilan jam tunggu buat pasport

ORANG ramai mula memenuhi pejabat di Bahagian Keselamatan dan Pasport, Jabatan Imigresen, Putrajaya sebaik sahaja kaunter dibuka pukul 8 pagi. - UTUSAN/MAISARAH SHEIKH RAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kira-kira sembilan jam masa diambil bagi mereka yang membuat permohonan pasport baharu di Bahagian Keselamatan dan Pasport, Jabatan Imigresen, di sini.

Tinjauan Utusan Malaysia yang mengalami sendiri situasi itu di pejabat tersebut pada Jumaat minggu lalu mendapati, orang ramai beratur panjang seawal pukul 7 pagi sebelum kaunter dibuka pada pukul 8 pagi.

Walaupun permohonan memperbaharui dokumen itu sudah dibuat secara dalam talian, pemohon tetap perlu menunggu giliran dan nombor diberikan berdasarkan ‘siapa dahulu, dia dapat’.

Memuatkan artikel berkaitan…

Sekiranya waktu janji temu pada pukul 10 pagi, pemohon tetap kena datang awal bagi mendapatkan nombor giliran kerana sebarang permohonan hanya dilayan jika ada nombor giliran dan bukannya mengikut masa janji temu.

Jika nombor habis pada hari tersebut, maka pemohon perlu datang pada hari lain.

Sepanjang tempoh menunggu itu juga, sebanyak dua kali sistem digital bagi memproses permohonan tergendala di pejabat berkenaan, menyebabkan orang ramai terpaksa menunggu lebih lama.

Urusan permohonan pembaharuan pasport hanya selesai kira-kira empat jam kemudian. Namun, bagi permohonan baharu secara walk-in terutama untuk pemohon kanak-kanak belum dapat diselesaikan.

Terdapat 24 kaunter di pejabat itu, namun urusan permohonan pasport hanya dibuka kira-kira enam kaunter dan selebihnya melibatkan kaunter serahan luar negara, urusan kehilangan, serahan pasport dan pembayaran.

Tiada kaunter khas bagi mereka yang sudah membuat permohonan secara dalam talian dan ibu bapa yang membawa anak-anak bagi permohonan kanak-kanak tidak didahulukan menyebabkan golongan itu mula menunjukkan ragam kerana terpaksa menunggu berjam-jam.

Keadaan itu diburukkan lagi pada waktu rehat tengah hari apabila kaunter ditutup dan ditutup lebih awal pada hari Jumaat iaitu pada pukul 12.15 tengah hari hingga 2.45 petang.

Selepas permohonan selesai, mereka perlu menunggu pula untuk cetakan pasport sekurang-kurangnya dalam tempoh sejam. Namun apa yang berlaku, ia memakan masa lebih sejam.

Penulis terpaksa melalui proses permohonan itu dari pukul 7.30 pagi sehingga 4.30 petang hanya untuk pasport. Ia sekali gus membuktikan rungutan dan keluhan orang ramai berhubung isu kesesakan bagi urusan pasport berasas.

Menurut Jabatan Imigresen sebelum ini, pihaknya mendapati berlaku lonjakan 25 peratus pengeluaran pasport sepanjang tahun lalu selepas keputusan kerajaan membuka pintu sempadan pada 1 April lalu.

Sejumlah 2.57 juta pasport dikeluarkan jabatan berkenaan berbanding tahun 2021 dengan kira-kira sebanyak 210,000 naskhah sebulan atau 10,000 naskhah pasport di seluruh negara pada 2022.

Dalam pada itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dalam satu kenyataaan menerusi Facebooknya berkata, isu kesesakan di pejabat pengeluar pasport di seluruh negara akan diatasi berdasarkan mesyuarat khas yang diadakan bersama kementerian itu dengan Jabatan Imigresen, kelmarin.

Mesyuarat khas itu dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz; Ketua Pengarah Jabatan Imigresen (JIM), Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud; Pengarah Bahagian Teknologi Maklumat JIM, Pengarah JIM KLIA, Pengarah JIM Selangor, Pengarah JIM Kuala Lumpur, Pengarah Bahagian Pasport serta pengurusan tertinggi kementerian itu dan Imigresen.

Antara keputusan yang dicapai sebagai langkah awal ialah penambahbaikan sistem janji temu dalam talian yang akan diberi tarikh dan masa janji temu berserta nombor giliran.

Selain itu ialah penambahan mesin pencetak dokumen perjalanan tersebut di pejabat imigresen yang sesak dan mempunyai pengunjung yang ramai.

“Pejabat Pasport KLIA turut beroperasi sebagai Pejabat Pengeluar Pasport bagi kes segera dan kecemasan selain daripada permohonan biasa.

“Sebanyak 20 Pejabat Pengeluar Pasport selain daripada Pusat Transformasi Bandar (UTC) akan beroperasi tujuh hari seminggu bermula hari ini,” kata Saifuddin. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN