Semak semula pemberian khas Sabah selari formula 40 peratus

Semak semula pemberian khas Sabah selari formula 40 peratus

ISNARAISSAH MUNIRAH MAJILIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan digesa mempercepat proses semakan semula pemberian khas kepada Sabah melalui geran tahunan ketika ini supaya selari dengan formula 40 peratus hasil negeri yang dikutip kerajaan Persekutuan. 

Ahli Parlimen Kota Belud, Isnaraissah Munirah Majilis berkata, semakan semula itu selaras dengan perkara yang termaktub dalam Perkara 112(C) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan secara jelas mengenai kadar pemberian khas yang sewajarnya diberikan untuk negeri itu. 

Katanya, desakan tersebut sebagai cadangan bagi fasa 1 pelaksanaan hak-hak Sabah yang masih belum ditunaikan di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). 

“Pelaksanaan segera bagi fasa ini tanpa memerlukan pindaan akta dan telah dibincangkan di dalam Majlis Jawatankuasa Khas Kabinet berkenaan MA63. 

“Selain itu, dalam peringkat ini juga, saya menggesa supaya jawatankuasa kerja antara kerajaan Persekutuan dan Sabah dan Sarawak ditubuhkan bagi pemantapan mekanisme kolaborasi pelaksanaan projek Persekutuan di Sabah dan Sarawak. 

“Kerajaan juga perlu segera melantik wakil negeri pengeluar minyak di dalam Anggota Majlis Penasihat Petroleum Negara (MPPN) dan kedudukan mereka perlu setaraf dengan Majlis di peringkat Kebangsaan seperti Majlis Tanah Negara dan Majlis Kewangan Negara,” katanya dalam kenyataan semalam. 

Kabinet sebelum ini menaikkan amaun pemberian khas baharu Sabah sebanyak 4.7 kali ganda daripada RM26.7 (sejak tahun 1973) kepada RM125.6 juta bagi tahun 2022, dan amaun itu akan terus meningkat setiap tahun bagi tempoh 2023-2026 mengikut kadar kenaikan dipersetujui secara bersama.  

Di dalam Bahagian IV Jadual Ke-10 Perlembagaan, Sabah berhak menerima Pemberian Khas bersamaan dua perlima atau 40 peratus daripada hasil bersih negeri dikutip Kerajaan Persekutuan.

Pun begitu, hingga kini, Sabah tidaklah mendapat 40 peratus hasil bersih negeri, namun digantikan dengan pemberian khas lain dalam tempoh lima tahun, menyaksikan jumlahnya masing-masing RM20 juta (1969), RM21.5 juta (1970), RM23.1 juta (1971), RM24.8 juta (1972) dan RM26.7 juta (1973).

Mengulas lanjut, kata Isnaraissah, Kabinet perlu meluluskan pertambahan bilangan kerusi Parlimen di Sabah dan Sarawak supaya dapat mewakili 35 peratus daripada kerusi Parlimen di Malaysia sejajar dengan semangat MA63. 

“Saya turut mencadangkan supaya peruntukan yang lebih besar kepada ahli Parlimen Sabah dan Sarawak mengambil kira keluasan kawasan parlimen yang dipertanggungjawabkan,” katanya. 

Dalam pada itu, penubuhan tabung atau Akaun Amanah Pembangunan Sabah dan Sarawak bagi tujuan merapatkan jurang pembangunan antara Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak juga perlu disegerakan.

“Ini bagi membolehkan gerak kerja khas dimulakan bagi mencari pendekatan baharu dalam merancang pembangunan Sabah dan Sarawak. Kini 90 peratus projek kendalian Kerajaan Persekutuan terbengkalai di Sabah dan hanya 38 peratus peruntukan pembangunan yang diumumkan setiap tahun kepada Sabah dan Sarawak digunakan pada tahun semasa,” katanya. 

Bagi fasa 2, Isnaraissah mencadangkan supaya pelaksanaannya dimulakan pembentangan Belanjawan 2023 yang mana ia tidak membabitkan sebarang pindaan akta tetapi pindaan kepada arahan pentadbiran dan pekeliling perbendaharaan.

Ini termasuk penetapan setiap satu butiran perbelanjaan yang akan dibelanjakan untuk Sabah dan Sarawak dijelaskan di dalam anggaran Perbelanjaan Persekutuan supaya mudah dipantau.

“Turut boleh dilaksanakan dengan meminda pekeliling Perbendaharaan (PB 2.6 dan PB 2.5) dengan melarang viremen dan pindah peruntukan ke atas perbelanjaan mengurus dan pembangunan bagi butiran berkaitan Sabah dan Sarawak.

“Jika dalam keadaan tertentu yang tidak dapat dielakkan, pekeliling Perbendaharaan boleh membenarkan pindahan peruntukan dilakukan dengan syarat kelulusan daripada Ketua Menteri Sabah dan Premier Sarawak perlu diperolehi terlebih dahulu.

“Lebihan peruntukan pembangunan yang tidak dapat dibelanjakan pada tahun semasa perlu disimpan semula di dalam Tabung atau Akaun Amanah Pembangunan Sabah dan Sarawak tanpa menjejaskan peruntukan tahunan bagi tahun berikutnya,” katanya. 

Bagi fasa ketiga dalam mesyuarat Parlimen yang akan datang, beliau turut mencadangkan supaya kerajaan menyelesaikan isu-isu perundangan mengenai empat perkara berkaitan petroleum iaitu isu royalti minyak dan bayaran tunai petroleum; mineral minyak dan medan minyak; Akta Laut Wilayah (Akta 750) dan hak negeri ke atas Pelantar Benua.

“Turut dicadangkan supaya pindaan di buat atas Akta Kemajuan Petroleum 1974 (Akta 144) bagi menaik taraf Majlis Penasihat Petroleum Negara,” katanya. – UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya