Seleweng diesel bersubsidi tumpas, penyelia syarikat ditahan

Seleweng diesel bersubsidi tumpas, penyelia syarikat ditahan

KPDN menumpaskan kegiatan penyelewengan minyak diesel bersubsidi menerusi serbuan sebuah premis di Estet Perindustrian Bemban 3, Batu Gajah, Perak. - GAMBAR IHSAN KPDN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menumpaskan kegiatan penyelewengan minyak diesel bersubsidi menerusi serbuan ke atas sebuah premis di Estet Perindustrian Bemban 3, Batu Gajah, Perak pada 7 Januari lalu.

Ketua Pengarah Penguat kuasanya, Azman Adam berkata, serbuan yang dilakukan sepasukan anggota penguatkuasa dari KPDN Putrajaya turut berjaya menahan seorang lelaki berusia lingkungan 40-an yang mengaku sebagai penyelia syarikat.

Menurutnya, lelaki terbabit yang berada di dalam premis berkenaan ditemui bersama beberapa buah tangki kosong dan berisi minyak diesel.

“Hasil pemeriksaan lanjut ke atas keseluruhan premis, pasukan serbuan menemui minyak diesel dengan kuantiti berjumlah 38,000 liter selain pam bermotor, flow meter dan beberapa peralatan lain yang digunakan untuk kegiatan penyelewengan minyak diesel.

“Premis berkenaan juga gagal mengemukakan sebarang dokumen yang sah berhubung kebenaran untuk berurusan berkaitan barang kawalan berjadual iaitu minyak diesel di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Azman berkata, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM 95,000 dan kesemua peralatan yang ditemui di lokasi disita bagi tujuan siasatan lanjut.

Jelasnya lagi, siasatan lanjut dijalankan di bawah AKB 1961 bagi mengenalpasti individu atau syarikat yang terlibat dalam aktiviti ini serta rantaian pengedaran minyak diesel tersebut termasuk sumber minyak diesel yang diperolehi dan diedarkan.

Katanya, mana-mana individu yang melakukan kesalahan boleh diambil tindakan di bawah AKB 1961 dan jika disabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM1 juta, manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM3 juta bagi orang perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Sementara bagi syarikat boleh didenda tidak melebihi RM2 juta dan kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5 juta.

“Selain itu, syarikat juga akan disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) (Akta 613) iaitu kesalahan pengubahan wang haram bagi tujuan mengesan, membeku, menyita serta sehingga ke peringkat perlucutanhak ke atas apa-apa hasil pendapatan atau harta yang dijana daripada aktiviti haram penyelewengan berkaitan minyak diesel,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya