Sekuriti makanan antara perkara utama Belanjawan 2023

Sekuriti makanan antara perkara utama Belanjawan 2023

ANWAR Ibrahim (tengah) bersama isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew hadir ke majlis rumah terbuka Tahun Baharu Cina Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) di Wisma Chinnese Chamber, Kuala Lumpur. - UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kebimbangan rakyat mengenai sekuriti makanan antara isu yang menjadi penekanan kerajaan menjelang pembentangan semula Belanjawan 2023.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan menitikberatkan dasar-dasar ekonomi yang boleh memacu dan menyegarkan negara melalui polisi ekonomi yang jelas.

Kata beliau, isu mengenai keterjaminan makanan seperti dari segi import makanan yang terlalu tinggi menjadi fokus utama kerajaan menjelang pembentangan Belanjawan 2023 pada 24 Februari ini.

“Import makanan kita terlalu tinggi. Jadi, kita akan berikan tumpuan dalam belanjawan dan saya dengan pasukan Menteri Kewangan telah meneliti banyak isu yang berbangkit. 

“Selain itu, saya juga tekankan peranan bukan saja syarikat besar tapi usahawan daripada industri kecil dan sederhana (IKS) dalam negara.

“Mereka harus diberi ruang supaya dapat ditingkatkan dari segi teknologi dan digitalisasi supaya dapat bersaing serta membawa pekerjaan lebih banyak,” katanya semasa berucap di Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM), di sini, hari ini.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, dialog belanjawan akan dilakukan sehingga 10 Februari bagi mendapatkan input sebelum merumus dan membentangkan kepada ahli Parlimen di Dewan Rakyat.

Ini sebagai langkah kerajaan mendengar cadangan dan permasalahan daripada semua pihak terlibat di dalam pelbagai bidang supaya Belanjawan bakal dibentang akan merangkumi serta memberi manfaat secara menyeluruh kepada semua pihak.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, Malaysia perlu mengemukakan dasar yang bersifat lebih berani demi memastikan negara terus bergerak ke hadapan walau dalam apa jua situasi.

“Seperti yang disebut oleh Presiden ACCCIM, Tan Sri Low Kian Chuan, dasar-dasar ekonomi yang boleh memacu pertumbuhan dan dasar ekonomi jelas melihat kepada peruntukan semasa.

“Pasca Covid-19, kemelesetan ekonomi di Eropah serta kesan peperangan antara Ukraine dan Russia menuntut kita untuk menjadi berani mengeluarkan dasar-dasar yang boleh memberi manfaat kepada semua,” ujarnya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya