Segera tubuh lembaga unggas, selamatkan sektor makanan

Segera tubuh lembaga unggas, selamatkan sektor makanan negara

Industri ayam dan telur tempatan memerlukan satu entiti kawal selia bagi memastikannya berkembang secara sihat-GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kerajaan tidak harus berterusan bergantung kepada kartel-kartel ayam dan te­lur untuk menstabilkan bekalan dan menjamin keselamatan makanan negara, sebaliknya perlu segera menubuhkan lembaga unggas bagi membasmi industri ayam dan telur daripada cengkaman kartel sekali gus memberi kuasa kepada kerajaan mengawal ekosistem ternakan itu.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, sumber industri ayam wilayah selatan berkata, hanya melalui penubuhan lembaga unggas sahaja mampu memberi kuasa kepada kerajaan mengawal setiap rantaian industri ayam dan telur, termasuk di peringkat huluan, pertengahan dan hiliran.

Tegas sumber, setiap kerajaan tetap gagal melaksanakan penubuhan lembaga yang penting itu, sekali gus mencetuskan prasangka tidak baik bahawa kerajaan menerima tekanan daripada kartel yang mahu menggagalkan penubuhannya kerana akan mengganggu dominasi mereka terhadap industri.

“Menerusi penubuhan lembaga unggas, kerajaan akan berkuasa menetapkan peraturan dan akta berkaitan industri yang selama ini langsung tidak dipedulikan. Ini khususnya tentang bekalan induk ayam, anak ayam (day old chick) serta makanan ayam.

“Selama ini, langsung tiada akta khusus yang mengawal bekalan dan harga anak ayam serta makanan. Kesudahannya, kerajaan terpaksa bergantung kepada kartel untuk menentukan bekalan dua komponen paling penting dalam industri ternakan itu, iaitu anak ayam dan makanan dedak. Jika kartel naikkan harga anak ayam dan dedak, kerajaan melopong saja tanpa boleh menyekatnya,” kata sumber.

Jelasnya, penubuhan lembaga unggas juga dapat mengintegrasikan penyertaan agensi-agensi berkaitan kerajaan dalam membantu membaik pulih ekosistem ternakan itu, sekali gus mengurangkan dominasi syarikat-syarikat gergasi ayam dan telur yang segelintirnya merupakan syarikat asing yang membuat untung dalam negara ini.

“Selama ini, untuk pengetahuan, ada beberapa syarikat ayam dan telur yang beroperasi dalam Malaysia, sebenarnya sahamnya dimiliki pihak Singapura. Malah, ada satu syarikat yang beroperasi di wilayah tengah dan selatan tanah air, sahamnya dimiliki seratus peratus warga Singapura.

“Mereka kaut subsidi, menggunakan tanah di Malaysia untuk beroperasi, namun ayam dan telur dieksport ke Singapura. Ini betul-betul ibarat kera di hutan disusukan tapi anak di rumah mati kelaparan,” kata sumber.

Untuk rekod, Utusan Malaysia pada November tahun lalu, mendedahkan laporan penyiasatan berhubung tiga syarikat gergasi ayam tempatan dikesan mewujudkan kegiatan kartel bagi mengeksploitasi kuota eksport ayam hidup warna putih dari Malaysia ke Singapura.

Ketiga-tiga syarikat itu disahkan mempunyai pegangan saham yang besar oleh pemilik syarikat dari Singapura, malah salah sebuah syarikat tersebut sahamnya dimiliki seratus peratus oleh pemegang saham negara jiran itu.

Pada masa sama, sumber berkata, kerajaan juga perlu menggesa penyertaan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk memproses bahan mentah bagi menghasilkan makanan ayam.

“Sekarang, sektor import bahan mentah untuk menghasilkan dedak dikawal oleh lima kartel.

Kesemua mereka ini masih dalam siasatan oleh Suruhan­jaya Persaingan Malaysia (MyCC). Kelima-lima syarikat itu dikesan menaikkan kuantum harga makanan ternakan ayam di negara ini antara 2020 hingga pertengahan 2022.

“Apakah kerajaan tidak mahu belajar daripada pengalaman ini? Adakah masih mahu menye­rahkan nasib industri ayam dan telur kepada tangan kartel-kartel yang menguasai sektor makanan ayam?” soal sumber itu.

Dalam pada itu, sumber mene­gaskan agar satu mekanisme dapat dirangka supaya bank-bank pertanian lebih telus dan serius membantu pengusaha-pengusaha ladang ayam bumiputera, demi melestarikan lagi industri dan menggalakkan penyertaan pemain Melayu dalam sektor penting makanan negara ini.

“Bank-bank berkaitan pertanian harus main peranan untuk memberi pinjaman dengan kadar faedah yang rendah.

“Industri ini bukan peranan solo yang harus diserahkan bebanan kepada kerajaan semata-mata.

“Tapi harus ada gabungan atau sinergi dalam memajukannya, termasuk di pihak kerajaan, GLC, serta pemain-pemain industri ternakan yang ada integriti, maruah dan semangat patriotik,” kata sumber berkenaan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya