Segera bentang RUU ombudsman, letak bawah Parlimen

Segera bentang RUU ombudsman, letak bawah Parlimen

Rang undang-undang ombudsman perlu dibentangkan segera di Parlimen bagi menjamin penjawat awam dapat membuat laporan mengenai sebarang salah laku dalam pentadbiran kerajaan dengan selamat dan efektif.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Rang undang-undang (RUU) ombudsman perlu dibentangkan segera di Parlimen bagi memastikan penjawat awam dapat membuat laporan mengenai sebarang salah laku dalam pentadbiran kerajaan dengan selamat dan efektif.

Ini kerana, RUU ini sudah dirangka sejak pentadbiran Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 2019 dan sepatutnya dibentangkan ketika pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 2020.

Ketika pentadbiran Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, beliau juga berjanji akan melakukannya tahun lalu, namun masih belum direalisasikan sehingga ke hari ini

Ombudsman adalah platform untuk orang awam me­nyalurkan aduan dan rungutan terhadap sistem penyampaian perkhidmatan awam dan memastikan kerajaan berfungsi dengan cekap dan berkesan ke arah demokrasi yang berakauntabiliti.

Ombudsman juga sudah dipraktikkan di 78 negara termasuk negara jiran seperti Indonesia, Thailand dan Filipina. Malah bekas Ketua Hakim Negara, Tun Richard Malanjum dilantik sebagai ombudsman Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tahun lalu.

Bukan itu sahaja, Sarawak menjadi negeri pertama yang bakal menggubal Ordinan Ombudsman setelah menubuhkan Unit Integriti dan Ombudsman serta mewujudkan jawatan Timbalan Menteri Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman).

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden TI-Malaysia, Dr. Muhammad Mohan menjelaskan, ombudsman ti­dak sama seperti agensi sedia ada seperti Biro Pengaduan Awam dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana ia merupakan badan bebas dan tidak berat sebelah kepada mana-mana pihak.

“Agensi penguatkuasaan sedia ada yang boleh mene­rima pendedahan pemberi maklumat di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 seperti SPRM atau polis mungkin dianggap tidak dapat memberikan keselesaan dan jaminan kerana agensi itu berada di bawah kawalan birokrasi dan kita tidak tahu siapa yang mempunyai akses kepada maklumat yang diberikan termasuk identiti pemberi maklumat.

“Oleh itu, memperkenalkan Ombudsman Parlimen dengan pengawasan terus daripada Parlimen dan beroperasi di bawah peraturan dan prosedur operasi standard (SOP) yang telus serta bebas daripada sebarang kawalan politik atau birokrasi berkemungkinan akan melakukan tugas yang lebih baik dalam memberi keselesaan dan jaminan kepada pemberi maklumat, terutamanya mereka yang berada di bawah perkhidmatan awam,” katanya ketika dihubungi.

Dalam masa sama, katanya, badan integriti perlu memberikan keselesaan dan jaminan kepada pemberi maklumat supaya dia berasa selamat kerana dilindungi daripada sebarang tindak balas oleh pihak terlibat.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Liew Vui Keong pernah menyatakan bahawa ombudsman adalah badan bebas yang mengamalkan kesaksamaan dalam menyelesaikan kes aduan awam terhadap agensi kerajaan.

“Penubuhan Ombudsman Ma­laysia bertujuan meningkatkan kepercayaan orang ramai dan mengatasi trust deficit (defisit kepercayaan) terhadap kewibawaan sistem penyampaian perkhidmatan awam,” katanya.

Semalam, Perdana Mente­ri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, warga perkhidmatan awam perlu berani membuat teguran terhadap pegawai atasan dan menteri-menteri termasuk dirinya sendiri jika didapati melanggar undang-undang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN