'Saya terima mereka sebagai kawan untuk mengajar' - Raja Permaisuri Agong - Utusan Malaysia

‘Saya terima mereka sebagai kawan untuk mengajar’ – Raja Permaisuri Agong

TUNKU AZIZAH AMINAH MAIMUNAH Iskandariah (tengah) mencemar duli melancarkan pes asam pedas dan rendang Betawi di Kompleks Penjara Bentong di Bentong, Pahang. - FOTO/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BENTONG: Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah bertitah, baginda menerima golongan banduan sebagai kawan untuk mengajar mereka tentang resipi masakan.

“Saya terima mereka sebagai kawan untuk mengajar,” titah Seri Paduka baginda pada majlis pelancaran Pes Asam Pedas dan Rendang Betawi dari Buku Resepi Air Tangan Tengku Ampuan Pahang di Kompleks Penjara Bentong di sini hari ini.

Pada majlis itu Tunku Azizah Aminah Maimunah berkenaan mencemar duli melancarkan produk pes asam pedas dan rendang Betawi dari Buku Resepi Air Tangan Tengku Ampuan Pahang.

Penyediaan pes asam pedas dan rendang Betawi ini melibatkan lima orang staf dan 33 penghuni Penjara Bentong yang dipilih berdasarkan kreativiti masing-masing.

Tunku Azizah bertitah, pelbagai ilmu disediakan di penjara seperti membuat kuih, makanan seperti pes dan sulaman yang amat signifikan dalam membantu penghuni penjara memulakan kehidupan baharu.

“Untuk mereka (penghuni penjara) saya ajar enam jenis resepi (kek) yang sudah dijual pada hari raya dan sepanjang tahun.

“Datuk Nordin Muhamad (Ketua Pengarah Penjara Malaysia) kecek saya enam lagi (resepi kek selepas satu resepi semalam) insya-Allah saya akan datang balik, mungkin banyak lagi bukan sahaja makanan, seni tenunan, sulaman dan sebagainya yang boleh dibuat dalam penjara,” titah baginda di sini hari ini.

Sementara itu, Nordin berkata, pelancaran itu bertujuan memperkenalkan prospek yang akan memasarkan dan menggunakan pes asam pedas dan rendang betawi.

Menurutnya, penyediaan pes itu mematuhi standard piawaian yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan dan halal dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

“Patik turut merafak sembah menyembahkan ucapan setinggi-tinggi junjungan kasih atas limpah perkenan Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah di atas komitmen berterusan Tuanku bersama Jabatan Penjara Malaysia bukan sahaja untuk memartabatkan seni dan kraf warisan negara malah pembangunan semula diri penghuni di sebalik tembok batu.

“Adalah menjadi satu anugerah dan kebanggaan kepada Jabatan Penjara di atas perkenan Seri Paduka Baginda Tuanku sebagai Penaung Diraja bagi Seni dan Kraf Jabatan Penjara Malaysia, patik mewakili seluruh warga kerja Jabatan Penjara menjunjung kurnia di atas kesudian dan kebersamaan Seri Paduka Baginda yang telah banyak menjana idea dan juga memberikan latihan kepada banduan-banduan agar dikembalikan ke pangkuan masyarakat dengan ilmu dan berkemahiran bermanfaat,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya