Pulau Pinang: Beberapa jalan, kedua-dua jambatan ditutup

Pulau Pinang: Beberapa jalan, kedua-dua jambatan ditutup secara berperingkat Ahad ini

BEBERAPA jalan termasuk Jambatan Pulau Pinang dan JSAHMS akan ditutup sementara secara berperingkat Ahad ini (8 Januari) bagi memberi laluan kepada acara kayuhan berbasikal Penang Fellowship Ride.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Beberapa jalan termasuk Jambatan Pulau Pinang dan Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (JSAHMS) di sini akan ditutup sementara secara berperingkat Ahad ini (8 Januari) bagi memberi laluan kepada acara kayuhan berbasikal Penang Fellowship Ride.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Soon Lip Chee berkata, jalan-jalan yang terlibat akan ditutup bermula pukul 6.30 pagi hingga 1 tengah hari dan acara itu melibatkan jarak kayuhan basikal sejauh 66 kilometer.

Jelas beliau, acara kayuhan berbasikal Penang Fellowship Ride itu adalah anjuran kerajaan negeri bersama Kelab Berbasikal G Club dan Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang melibatkan tempat pelepasan serta penamatan di Persiaran Bayan Indah 2 (berhadapan Queens Waterfront).

“Memandangkan acara kayuhan berbasikal ini akan melibatkan kedua-dua jambatan, laluan sehala akan ditutup sepenuhnya pada masa yang tertentu sahaja untuk memberi laluan kepada peserta-peserta,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, laluan acara kayuhan berbasikal itu melibatkan Persiaran Bayan Indah 2; Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu; Jambatan Pulau Pinang; Jalan Perusahaan; Jalan Kebun Baru, Jalan PSPN 2; Jalan Perindustrian Bukit Minyak 8 dan Jalan Batu Kawan.

“Seterusnya kayuhan peserta akan melalui Lebuhraya Bandar Cassia, Persiaran Cassia Barat 3; Lingkaran Cassia Selatan; Persiaran Cassia Selatan 1; Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah; Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu dan kembali ke Persiaran Bayan Indah 2,” katanya.

Tambahnya, bagi Jambatan Pulau Pinang iaitu dari arah bahagian Pulau ke Seberang Perai sahaja waktu penutupan adalah dari pukul 6.30 pagi hingga pukul 9 pagi.

“Bagi JSAHMS dari arah Batu Kawan ke Batu Maung sahaja waktu penutupan adalah dari pukul 9 pagi hingga 12 tengah hari.

“Bagi laluan-laluan lain yang terlibat juga akan ditutup sementara di antara tempoh 15 hingga 30 minit secara berperingkat,” katanya.

Dalam pada itu, tambah beliau, Penang Fellowship Ride telah menarik sebanyak 2,500 penyertaan termasuk peserta dari Singapura, Australia, dan Jepun.

“Yang Dipertua Negeri, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak juga akan mengambil bahagian dalam acara kayuhan berbasikal itu.

“Para peserta diingatkan untuk memakai jersi rasmi yang dibekalkan oleh pihak penganjur kerana hanya peserta yang memakai jersi rasmi sahaja dapat mengambil bahagian dalam acara kayuhan berbasikal ini dan merentasi Jambatan Pulau Pinang serta JSAHMS,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya