PN Selangor sedia terima Noh, ahli parti UMNO - Utusan Malaysia

PN Selangor sedia terima Noh, ahli parti UMNO

Dipecat
Zulkafperi Hanapi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR: Perikatan Nasional (PN) Selangor bersedia menerima penyertaan pimpinan dan ahli UMNO termasuk Tan Sri Noh Omar bagi memperkukuhkan lagi jentera parti itu di negeri ini.

Ini kerana penyertaan bekas Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor itu dipercayai mampu membantu PN memperoleh kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.

Timbalan Pengarah Jentera Pilihan Raya PN Selangor, Datuk Dr. Zulkafperi Hanapi berkata, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas bersikap terbuka dan kekal berpegang kepada prinsip penyatuan Melayu.

“Jika Noh memilih Bersatu, saya yakin lebih ramai pengikut pemimpin berpengalaman luas itu terutama belia akan menyertai PN.

“Saya percaya individu yang kecewa dengan UMNO dan mereka sentiasa dialukan untuk meneruskan perjuangan bersama kami,” katanya ketika ditemui di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Tanjong Karang, hari ini.

Kelmarin, Noh dan bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin sah dipecat UMNO berikutan pelanggaran disiplin pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Selain itu, pemimpin lain yang digantung enam tahun termasuk Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein; bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan; bekas Ahli Parlimen Jempol, Datuk Salim Mohd. Sharif dan Ketua Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang.

Turut dipecat, lima ahli UMNO Bahagian Pasir Gudang, sembilan ahli Bahagian Putrajaya, dua ahli Bahagian Tanjong Karang dan 26 ahli dari Pahang.

Jelas Zulkafperi, beliau ada menerima hasrat ahli UMNO Tanjong Karang untuk menyertai Bersatu berikutan kecewa dengan keputusan kepimpinan UMNO.

“Gelombang kekesalan itu bukan saja di Tanjong Karang malah berlaku di seluruh negeri ini. Ia meyakinkan PN untuk berdepan PRN sekali gus menawan negeri ini daripada PH (Pakatan Harapan),” ujarnya.

Tambah beliau, PN sentiasa berlapang dada demi penyatuan atas dasar perjuangan dan wadah sama dalam membela hak Melayu selain tidak menzalimi kaum lain. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.