Perubahan kepimpinan UMNO tak jejas Kerajaan Perpaduan - Utusan Malaysia

Perubahan kepimpinan UMNO tak jejas Kerajaan Perpaduan

Kepimpinan UMNO
RAFIZI Ramli berucap dalam Konvensyen PKR Selangor 2023 di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kerajaan Perpaduan didakwa tidak akan terjejas walaupun UMNO mengalami perubahan dari sudut dasar dan kepimpinan melalui perhimpunan agung dan juga pemilihan partinya yang dijangka berlangsung pada Mac tahun ini.

Ini kerana komitmen untuk memastikan kestabilan kerajaan sudah dinyatakan oleh pimpinan parti masing-masing melalui perjanjian yang ditandatangani walaupun berlaku perubahan kepimpinan dalam kedua-dua parti.

Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata, bagaimanapun beliau tidak mahu mencetuskan sebarang spekulasi terhadap sehingga perubahan tersebut berlaku dan Pakatan Harapan (PH) serta Barisan Nasional (BN) perlu berdepan krisis itu.

“Semasa kita membentuk kerajaan, kita menandatangani perjanjian dan merundingkan rundingan itu berlaku. Prinsipnya ialah pertukaran pimpinan dalam parti masing-masing sepatutnya tidak mempunyai kesan kepada Kerajaan Perpaduan kerana komitmen itu ialah komitmen oleh parti masing-masing.

“Pimpinan ketika itu, mendapatkan keputusan muktamad di peringkat parti mengikut proses membuat keputusan mereka. Jadi UMNO melalui proses itu sebelum menyertai kerajaan Perpaduan dan PH pun juga buat,” katanya dalam sidang akhbar di Konvensyen PKR Selangor 2023, hari ini.

Beliau menambah, jika perjanjian tersebut tidak mahu diteruskan oleh kepimpinan baharu, UMNO dan gabungan mana-mana parti perlu melalui semula proses tersebut.

Perhimpunan Agung UMNO (PAU) yang berlangsung sejak Rabu lalu dan berakhir pada hari ini dilihat menerima desakan daripada perwakilan supaya kesemua jawatan termasuk Presiden dan Timbalan Presiden dipertandingkan pada pemilihan parti itu nanti.

Komitmen tersebut turut dinyatakan presidennya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang juga Timbalan Perdana Menteri I itu bersedia berdepan tentangan untuk merebut jawatan nombor satu dalam parti.

Bagaimanapun keputusan dalam PAU tadi menyaksikan usul jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan diluluskan selepas majoriti perwakilan menyokongnya.

Dalam pada itu, Rafizi yang juga Menteri Ekonomi memaklumkan, rakyat tidak sanggup lagi berdepan situasi apabila ada tiga Perdana Menteri dalam sepenggal yang mana mengganggu pertumbuhan ekonomi akibat ketidakstabilan kerajaan.

“Jadi tempoh yang berlaku lima tahun lepas, negara hilang hala tuju kerana kalaupun kerajaan baharu, Perdana Menteri baharu masuk dan minta buat sesuatu, rakyat pun rasa lama mana dia kekal, lepas ini benda (dasar) baharu pula.

“Jadi kita dah kehilangan lima tahun, semangat itu yang menjadi ikatan paling kuat kepada BN, PH, GPS, Warisan dan parti-parti lain jadi sebab itu saya tidak rasalah ada perubahan dalam kepimpinan UMNO yang merungkai perjanjian itu kerana diikat oleh semangat yang lebih atas daripada kepentingan parti masing-masing,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya