Bersatu nafi kerjasama dengan PH, Anwar

Bersatu nafi kerjasama dengan PH, Anwar

Bersatu kerjasama dengan PH
MOHAMED AZMIN ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menafikan mereka akan kembali bekerjasama dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pakatan Harapan (PH) sebagaimana pernah berlaku ketika usaha menjatuhkan Barisan Nasional (BN) pada 2018.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, dakwaan partinya akan bekerjasama sebagai satu fitnah oleh pihak tertentu yang cuba menutup kegagalan pengkhianatan dalam gerakan ‘Langkah Bangkok’.

“Bersatu juga menangkis fitnah bahawa wujud pertemuan dan perbincangan di antara pimpinan parti dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk maksud mewujudkan kerjasama dengan PH.

“Amat malang sekali, tatkala umat Islam sedang merayakan hari-hari Tasyrik, muncul kumpulan orang politik dan media yang sedang asyik meraikan fitnah dan rekayasa jahat yang berlegar dalam masyarakat,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau menambah, tindakan fitnah itu bukan sekadar berniat jahat, malah didakwa sebagai usaha melemahkan perpaduan dalam Bersatu dan Perikatan Nasional dikutip daripada kumpulan orang politik yang muflis nilai-nilai perjuangan.

“Tiupan fitnah semakin kencang kerana Bersatu semakin kuat dan berkembang dengan sokongan rakyat dan golongan profesional. Wajah sederhana, inklusif, progresif dan dasar prihatin rakyat menjana sokongan yang meluas.

“Bersatu bertekad akan terus kekal mempertahankan muafakat politik dalam PN dengan teguh dan berprinsip untuk membina Malaysia yang gagah, bermaruah dan progresif untuk semua rakyat Malaysia,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN