'Perdana Menteri ketika itu' dirujuk sebagai `Big Boss' terima `Coklat RM2 juta'

‘Perdana Menteri ketika itu’ dirujuk sebagai `Big Boss’ terima `Coklat RM2 juta’

LIM Guan Eng hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bagi perbicaraan kes rasuah berkaitan terowong dasar laut Pulau Pinang. - UTUSAN/FAIZ ALIF AHMAD ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pihak pembelaan dalam kes rasuah terowong dasar laut Pulau Pinang merujuk `Perdana Menteri ketika itu’ sebagai `Big Boss’ yang didakwa menerima `Coklat RM2 juta’ daripada seorang ahli perniagaan.

Maklumat tersebut didedahkan di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, berdasarkan perbualan menerusi aplikasi WhatsApp antara dua ahli perniagaan, Datuk Zarul Ahmad Mohd. Zulkifli dan G. Gnanaraja berhubung pemberian wang RM2 juta yang sebelum ini didakwa untuk Lim Guan Eng.

Maklumat itu dikemukakan ketika peguam Gobind Singh Deo sedang menyoal balas pegawai penyiasat forensik Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Penolong Penguasa Wan Mohd. Firdaus Wan Yusof pada perbicaraan kes rasuah bekas Ketua Menteri Pulau Pinang.

Bagaimanapun saksi pendakwaan kelapan (SP8) tidak mengesahkan bahawa `Big Boss’ yang dimaksudkan oleh Gobind merujuk kepada `Perdana Menteri ketika itu’.

Perbualan yang berlangsung pada pagi 23 Julai 2017 itu antara lain menyebut Gnanaraja memberitahu Zarul Ahmad berkaitan upacara memotong kek sempena sambutan harijadi bersama `Big Boss’ pada sebelah malamnya.

Gnanaraja turut memaklumkan kepada Zarul Ahmad bahawa beliau akan menghubunginya sebaik sahaja meninggalkan Taman Duta.

Pada peringkat itu, Gobind menarik perhatian mahkamah bahawa tarikh lahir Guan Eng bukan pada 23 Julai dan anak guamnya juga tidak menetap di Taman Duta.

Pada perbicaraan semalam, pasukan pembelaan mendakwa, `Coklat RM2 juta’ yang dimaksudkan sebagai wang tunai kepada Guan Eng, sebenarnya untuk diberikan kepada pihak lain.

Maklumat tersebut terkandung dalam dua rakaman video prosiding kes penipuan melibatkan Gnanaraja di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 2017.

Sementara itu, Wan Mohd. Firdaus ketika disoal semula oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin bersetuju perbualan itu menyatakan wang RM2 juta diberi kepada Guan Eng.

Ditanya sama ada dalam laporan forensik mengandungi rakaman perbualan itu menyatakan bahawa wang dibayar kepada orang lain, saksi itu menjawab, “tidak”.

Pada awal prosiding, Wan Shaharuddin membantah tindakan pembelaan untuk memasukkan keterangan mengandungi perbualan kedua-dua ahli perniagaan itu melalui Wan Mohd. Firdaus berdasarkan laporan yang dibuat bagi kes di Shah Alam.

Ujar beliau, soalan pada sesi pemeriksaan balas hari ini adalah bagi menunjukkan kaitan laporan itu terhadap kes pembelaan.

Sementara Gobind pula menyatakan, perkara itu sudah dibincangkan empat bulan lalu sebaliknya pihak pendakwaan hanya mengemukakan sebahagian dokumen yang menyebelahi mereka.

Hakim Azura Alwi menetapkan 15 Mac ini bagi mendengar permohonan pihak pembelaan untuk mendapatkan laporan forensik mengandungi perbualan WhatsApp di antara Zarul Ahmad dan Gnanaraja.

Mahkamah mengarahkan pihak pembelaan memfailkan permohonan sebelum 15 Februari ini.

Mahkamah sedang mendengar perbicaraan terhadap Guan Eng atas pertuduhan pindaan menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan wang RM3.3 juta sebagai tindakan membantu syarikat milik Zarul Ahmad dilantik melaksanakan projek terowong dasar laut dan jalan utama di Pulau Pinang bernilai RM6.3 bilion.

Zarul Ahmad ketika itu merupakan Pengarah Consortium Zenith Beijing Urban Construction Group Sdn. Bhd. (CZBUCG).

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di antara bulan Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, KOMTAR.

Dia didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) yang memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun dan tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Selain itu, beliau didakwa terhadap tuduhan pindaan meminta suapan iaitu balasan berharga berupa 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh Zarul Ahmad sebagai upah membantu syarikat miliknya dilantik melaksanakan projek itu.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di antara pukul 12.30 pagi dan 2 pagi, pada bulan Mac 2011 berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City di sini.

Ahli Parlimen Bagan itu turut didakwa atas dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang bernilai RM208.8 juta dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut di sana.

Mengikut pertuduhan pertama, Guan Eng didakwa menyebabkan Pendaftar Tanah Pulau Pinang melupuskan harta milik kerajaan negeri iaitu, Lot Tanah No. H.S.(D) 18801, No. PT Lot 702 Seksyen 1, Bandar Tanjong Pinang, Daerah Timor Laut, Pulau Pinang, bernilai RM135,086,094 kepada Syarikat Ewein Zenith Sdn Bhd.

Guan Eng juga dituduh menyebabkan Pendaftar Tanah Pulau Pinang melupuskan Lot Tanah No.H.S.(D) 19318, No. PT Lot 10012 Seksyen 1, Bandar Tanjong Pinang, Daerah Timor Laut, bernilai RM73,668,986 kepada Syarikat Zenith Urban Development Sdn Bhd.

Guan Eng didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, Tingkat 21, KOMTAR pada 17 Februari 2015 dan 22 Mac 2017.

Pendakwaan terhadap beliau dikemukakan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum enam bulan dan maksimum lima tahun dan sebatan serta denda, jika sabit kesalahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya