Pengurusan lemah punca kebajikan pelajar terabai

Pengurusan lemah punca kebajikan pelajar terabai

KEADAAN rumah sewa pelajar sebuah institut pengajian tinggi awam yang kelihatan sempit dan tidak selesa pada tinjauan Utusan Malaysia di Seksyen 7, Shah Alam. - FOTO/AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengurusan ins­titusi pengajian tinggi (IPT) ter­utamanya Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang lemah dalam menguruskan aspek kewangan didakwa menjadi punca kebajikan pelajar te­rus terabai.

Mendedahkan perkara itu, sumber dalaman UiTM berkata, banyak silap langkah di­­kesan sejak 10 tahun kebe­la­kangan ini dalam menjana pendapatan terutamanya membabitkan bentuk pelaburan me­lalui badan pelaburan, UiTM Holdings yang dilaksanakan tan­pa menekankan aspek integriti dan tadbir urus yang berkesan.

Sumber itu mendakwa, ketirisan itu me­nyebabkan universiti ter­se­but didakwa berkemungkinan akan menampung kerugian ratusan juta ringgit sekali gus menyebabkan universiti itu tidak mampu menjaga kepenti­ngan dan kebajikan pelajar.

Malah, dakwanya lagi, ini ber­ikutan pihak pengurusan lebih berkelakuan seperti sebuah en­titi korporat dengan melaksa­nakan pelaburan yang tidak berkaitan dengan kepentingan aspek, budaya dan pendidikan institusi berkenaan.

“UiTM Holdings ditubuhkan untuk menjalankan kerja-kerja pelaburan, tetapi ia menyebabkan kita kerugian ratusan juta, manakala sesetengah individu pula mengambil keuntungan un­tuk menjadi kaya.

“Ini berlaku dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini sehingga ke hari ini. UiTM berkemungkinan kehilangan ratusan juta ringgit di mana majoriti syarikat subsidiari di bawahnya mengalami kerugian. Majoriti (pelaburan) yang dibuat adalah rugi, jadi bagaimana UiTM mahu bantu pelajar miskin, dan ­akhirnya mengkayakan orang kaya.

“Melabur puluhan juta ringgit dalam pembikinan filem tetapi semuanya rugi. Pelaburan dalam (projek) solar pula ba­nyak kecurangan sampai kerugian ratusan juta. Ini semua baru contoh kecil,” dakwanya ketika dihubu­ngi Utusan Malaysia semalam.

Semalam, akhbar ini mela­porkan, sewa kediaman yang mahal dan kos sara hidup tinggi menyebabkan pelajar IPT di bandar terpaksa tinggal berhimpit-himpit dalam satu rumah selain ada bekerja sambilan untuk menampung perbelanjaan harian.

Situasi itu menyebabkan ramai menyewa rumah atau apartmen dan berkongsi sehingga 20 orang, tidur berhimpit enam atau lapan orang sebilik, persis ‘ikan sardin’.

Mengulas lanjut, sumber men­dakwa, dalam keadaan sum­ber kewangan berkurangan, univer­siti sewajarnya menekankan ke­penti­ngan dan kebajikan pe­lajar.

“UiTM (diberi) bajet ­berbili­on, tetapi pelajar mahu minta peruntukan susah, jabatan mahu minta peruntukan pun susah, mahu sumbang laptop susah, (kebaji­kan) para pelajar luar kampus teruk, seolah-olah tiada ada orang (bertanggungjawab) boleh mereka meminta bantuan,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN