Penguat kuasa tak boleh sewenang-wenangnya bocor maklumat

Penguat kuasa agama tak boleh sewenang-wenangnya bocorkan maklumat

MOHD. Ridhwan Husin (kanan) semasa menjadi tetamu jemputan membincangkan isu rumah tangga di Media Mulia TV (MMTV), Petaling Jaya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penguat kuasa di mana-mana Jabatan Agama Islam tidak boleh sewenang-wenangnya membocorkan maklumat individu kerana termaktub sebagai bentuk kerahsiaan penjawat awam, kecuali bagi tujuan pendakwaan di mahkamah yang berbidang kuasa.

Peguam Syarie, Mohd. Ridhwan Husin berkata, perkara itu selari dengan ikrar yang dilafazkan penjawat awam sekalipun mempunyai niat baik untuk membantu golongan isteri yang teraniaya.

Sebagai contoh, jelasnya, seorang doktor tidak boleh mendedahkan kerahsiaan pesakit yang ditimpa penyakit kronik waima kepada ahli keluarga terdekat, melainkan dengan kerelaan pesakit sendiri.

“Penguatkuasa perlu fokus pada tugas menguatkuasakan undang-undang sahaja dan jangan sesekali mencampuri urusan perkahwinan mana-mana pasangan yang bermasalah. Ini adalah satu bentuk kerahsiaan tinggi yang mesti dijaga.

“Perkara ini terkandung dalam undang-undang peribadi dan jangan sibuk-sibuk hendak dedahkan maklumat pasangan sudah berkahwin atau sebaliknya,” katanya kepada Utusan Malaysia, hari ini.

Dalam pada itu, Mohd. Ridhwan yang juga Penolong Setiausaha Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) memberi nasihat kepada semua lelaki supaya berani mengisytiharkan diri sudah berpoligami sekalipun bernikah di luar negara.

Jelasnya, seorang isteri berhak mengetahui kedudukan suaminya sekiranya sudah berkahwin lain kerana perkara asas yang paling wajib dilakukan adalah menjaga hati isteri.

Sedangkan, katanya, poligami itu adalah perkara dibenarkan dengan bersyarat kerana tindakan menyembunyikan status perkahwinan hanyalah menyakitkan hati isteri.

“Kalau betul-betul memenuhi kehendak poligami, boleh teruskan di mahkamah. Kalau sudah berpoligami di luar negara, suami perlu mengesahkan pernikahan tersebut di mahkamah.

“Proses pengesahan tersebut juga mewajibkan isteri pertama datang untuk menuntut harta sepencarian, nafkah dan tuntutan lain,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohd. Ridhwan berkata, mana-mana isteri yang mempunyai masalah dengan suami perlu mencari jalan terbaik dan bukan meluahkan di media sosial.

Tegasnya, jangan sesekali menjadikan isu rumah tangga sebagai bahan kandungan media sosial yang menjadi tatapan jutaan pengikut sehingga menimbulkan lebih banyak spekulasi.

“Mungkin asalnya suami hendak selesaikan cara baik, tetapi si isteri sudah muat naik dalam media sosial. Ada juga kes yang saya sudah nasihatkan pada klien jangan muat naik tentang nafkah dalam media sosial.

“Akhirnya, si suami saman fitnah isteri sebab menggunakan media sosial. Sekalipun, luahan itu betul ia akan menjadi aib, kalau tidak betul akan jadi fitnah.

“Media sosial bukan jalan terbaik, ada jalan yang lebih baik untuk menyalurkan ketidakpuasan hati dengan berjumpa peguam,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya