Pearly-Thinaah gagal ke final Indonesia Masters

Pearly-Thinaah gagal ke final Indonesia Masters

AKSI Pearly-Thinaah dalam Masters Indonesia yang berlangsung di Istora Senayan di Jakarta, Indonesia.

PETALING JAYA: Hasrat  beregu wanita, Pearly Tan-M.Thinaah untuk mara ke final badmonton Indonesia Masters tidak kesampaian selepas terkandas pada separuh akhir, sebentar tadi.

Pearly-Thinaah yang merupakan pilihan keenam kejohanan tewas kepada beregu No.11 dunia dari Jepun, Yuki Fukushima-Sayaka Hirota 14-21, 19-21 dalam aksi yang berlangsung di Stadium Istora Senayan di Jakarta, Indonesia.

Kali terakhir pertemuan kedua-dua pasangan menyaksikan Pearly-Thinaah berjaya menang ke atas lawan mereka itu pada pusingan kedua Malaysia Masters pada tahun lalu.

Kekalahan itu menyaksikan Pearly-Thinaah gagal ke final dalam dua kejohanan berturut-turut selepas turut tewas di separuh akhir Terbuka India minggu lalu kepada beregu No. 2 dunia dari Jepun, Nami Matsuyama-Chiharu Shida.

Dalam final esok, Yuki-Sayaka akan membuat perhitungan dengan beregu China, Liu Sheng Shu-Zhang Shu Xian yang menewaskan pasangan Thailand, Jongkolphan Kititharakul-Rawinda Prajonggjai dalam satu lagi separuh akhir.

Bagi Pearly-Thinaah, kejayaan mara sehingga separuh akhir dalam dua kejohanan berturut-turut merupakan permulaan yang baik selepas tersingkir seawal pusingan pertama di Terbuka Malaysia sebelum ini. – UTUSAN ONLINE

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN