Orang Asli Suku Seletar duduki penempatan baharu, dapat pampasan - Utusan Malaysia

Orang Asli Suku Seletar duduki penempatan baharu, dapat pampasan

SEBAHAGIAN Orang Asli Suku Seletar mendengar penjelasan peguam di Mahkamah Rayuan Putrajaya pada prosiding rayuan berhubung tanah adat di selatan Johor. - UTUSAN/NORLIZAH ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Sejumlah 85 keluarga Orang Asli Suku Seletar dari Kampung Sungai Temon di selatan Johor akan dipindahkan ke penempatan baharu di Mukim Sungai Tiram ekoran tanah perkampungan itu dipindah milik kepada syarikat pemaju untuk dibangunkan.

Demikian perintah persetujuan yang direkodkan oleh Mahkamah Rayuan hari ini ketika menyelesaikan pertikaian di antara kaum Orang Asli itu dan 11 pihak termasuk Kerajaan Negeri Johor yang berlarutan sejak 10 tahun lalu.

Perintah itu direkodkan oleh panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Yaacob Md. Sam yang bersidang bersama Datuk S. Nantha Balan dan Datuk Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali.

Sekumpulan keluarga Orang Asli itu yang turut dikenali sebagai Orang Laut telah mendiami perkampungan nelayan tradisional tersebut sejak 1950-an.

Menurut perintah persetujuan, tanah penempatan semula seluas 45 ekar itu bakal diwartakan dan turut dilengkapi dewan serbaguna dan tadika, kemudahan asas dan infrastruktur dengan jarak di antara rumah sejauh 30 kaki.

Mereka turut menikmati sejumlah pampasan iaitu RM5,000 dan RM1,500 untuk kemudahan perabot bagi setiap isi rumah (85 keluarga).

Perintah persetujuan itu turut menyatakan, Kerajaan Negeri Johor (responden kedua) akan mewartakan keseluruhan tanah seluas 45 ekar (termasuk kawasan rayau) di bawah Seksyen 7 Akta Orang Asli 1954 sebagai Rizab Orang Asli.

Selain itu, dua buah jeti akan dibina di tapak penempatan semula dan mereka dan dibenar meneruskan aktiviti seharian sebagai nelayan di selatan perairan negeri tersebut.

Perintah persetujuan itu turut menyatakan, pembinaan tapak penempatan semula itu akan mengambil masa lima tahun bermula daripada tarikh pemberian milikan kosong kepada pemaju.

“Daripada tempoh perintah ini sehingga penyelesaian pembinaan dan pemindahan Orang Asli Kampung Sungai Temon ke tapak penempatan semula, mereka dibenar terus kekal di kampung berkenaan,” menurut perintah tersebut.

Sementara itu, sejumlah 50 keluarga Kampung Bakar Batu turut mendapat pampasan RM6,500 bagi setiap isi rumah selain diberi akses sementara ke Jeti Kampung Bakar Batu.

Hari ini ditetapkan untuk rayuan 135 keluarga itu yang tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Tinggi Johor Bahru terhadap tuntutan pertikaian tanah adat bagi kawasan yang kini dikenali sebagai Danga Bay.

Berikutan perintah persetujuan itu, panel berkenaan membatalkan rayuan tersebut.

Eddy Salim dan 84 keluarga daripada Kampung Sungai Temon dinamakan sebagai perayu manakala Pengarah Tanah dan Galian serta 10 pihak lain dinamakan sebagai responden.

Suku Seletar kebanyakannya yang tinggal di selatan Johor memfailkan saman pada 2012 selepas mendapati tanah mereka dipindah milik kepada pihak-pihak pemaju.

Orang Asli Seletar diwakili peguam-peguam Steven Thiru, K. Mohan, Dr. S. Yogeswaran, Aaron Mathews, David Ng Yew Kiat, Shahrul Azwan dan Ananthan Moorthi.

Penolong Penasihat Undang-Undang Negeri Johor, Muhammad Azzam Zainal Abiden dan peguam Khoo Guan Huat mewakili Kerajaan Negeri Johor.

Pada 28 Februari 2017, mahkamah memutuskan Orang Asli Suku Seletar mempunyai hak bukan eksklusif untuk menggunakan perairan adat mereka bagi tujuan tradisional mereka serta untuk kehidupan.

Bagaimanapun, tuntutan Orang Seletar tanah adat itu dikembalikan kepada mereka ditolak selepas mahkamah berpuas hati pihak swasta yang kini memiliki tanah itu sebagai `pembeli yang tidak bersalah’.

Mahkamah bagaimanapun memutuskan mereka perlu diberi pampasan berdasarkan nilai pasaran bagi semua tanah-tanah yang telah diberi milik oleh kerajaan kepada pihak swasta.

Sekitar 2018, Kerajaan Negeri Johor dan pihak-pihak berkenaan mencapai penyelesaian terhadap isu tersebut dan bersetuju untuk memindahkan mereka ke penempatan baharu serta turut diberikan pampasan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya