Ops Bas Pekerja: JPJ sita 7 van kilang termasuk kenderaan 'scrap' - Utusan Malaysia

Ops Bas Pekerja: JPJ sita 7 van kilang termasuk kenderaan ‘scrap’

SEBAHAGIAN daripada tujuh van kilang yang disita oleh JPJ dalam operasi di sekitar kawasan Perindustrian Batu Kawan dan Bandar Cassia, Pulau Pinang semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

BATU KAWAN: Sebanyak tujuh buah kenderaan bas pekerja atau van kilang disita dalam operasi penguatkuasaan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang di sekitar kawasan Perindustrian Batu Kawan dan Bandar Cassia di sini, semalam.

Menurut JPJ negeri, operasi penguatkuasaan itu dilakukan secara berfokus terhadap kenderaan perkhidmatan awam (KPA) dengan tumpuan terhadap bas pekerja yang berfungsi sebagai pengangkutan awam utama untuk operator pengeluaran yang bekerja di kawasan berkenaan.

Katanya, daripada tujuh kenderaan yang disita, tiga daripadanya didapati dipandu oleh warga asing manakala sebuah kenderaan lagi dikesan berstatus lupus dan ‘scrap’.

“Kesalahan lain yang dikesan dalam Ops Bas Pekerja itu ialah tiada lesen memandu (biasa) dan tiada lesen memandu Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV), Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh serta tiada perlindungan insurans selain menyalahgunakan LKM iaitu menggunakan van persendirian untuk membawa penumpang.

“Turut dikesan ialah beberapa kesalahan teknikal seperti tayar haus berlebihan, lampu isyarat dan brek tidak berfungsi serta tidak menyelenggarakan kenderaan dengan baik,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambah kenyataan tersebut, seramai 10 warga asing turut ditahan oleh Jabatan Imigresen negeri yang turut serta dalam operasi terbabit.

Dalam pada itu, JPJ negeri menasihatkan pemandu dan pengusaha KPA supaya mematuhi peraturan dan undang-undang yang dikuatkuasakan semasa menjalankan perkhidmatan.

Selain itu katanya, mereka perlu memastikan kenderaan tersebut juga berada dalam keadaan baik dan selamat kerana keselamatan jalan raya adalah tanggungjawab bersama. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya