Naik tuk tuk nikmati keindahan kampung nelayan warna-warni - Utusan Malaysia

Naik tuk tuk nikmati keindahan kampung nelayan warna-warni

Pengunjung boleh menikmati keindahan perkampungan nelayan dengan menaiki tuk tuk di tapak Program Transformasi Diraja Kampung Nelayan Warna-Warni Seberang Ramai Kuala Perlis. – UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Lazimnya tuk tuk lebih sinonim dengan pelancong yang berkunjung ke Thailand atau Indonesia dan menjadi salah satu medium pengangkutan mereka.

Namun begitu, mungkin tidak ramai mengetahui mereka juga berpeluang menaiki tuk tuk sekiranya berkunjung ke tapak Program Transformasi Diraja Kampung Nelayan Warna-Warni Seberang Ramai Kuala Perlis di sini.

Lebih menarik, pelancong yang menggunakan perkhidmatan itu juga dapat merasai sendiri pengalaman mengelilingi tujuh perkampungan nelayan di sini seterusnya menikmati keindahan dan cara hidup masyarakat setempat.

Dengan bayaran RM35 bagi perkhidmatan tuk tuk, pengunjung akan dibawa mengelilingi Kampung Tengah, Kampung Hujung Tanjung, Kampung Seberang Alur, Kampung Seberang Jaya, Kampung Pulau Ketam, Kampung Tandiap dan Kampung Baru Tandiap dalam tempoh kira-kira 30 minit hingga satu jam.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, pengusaha perkhidmatan tersebut, Nur Afiq Nasharudin, 26, berkata, dia mendapat cetusan idea menyediakan kemudahan tuk tuk di kawasan berkenaan bagi memberi pe­luang kepada warga emas dan ibu mengandung untuk menikmati keindahan kampung-kampung nelayan di sini.

“Sebelum ini, kami sememangnya ada menyediakan perkhidmatan motosikal, basikal dan skuter mini elektrik bagi kemudahan pelancong untuk mengelilingi kampung ini. Namun tidak semua warga emas berpeluang menaiki kemudahan itu dan dari situlah timbulnya cetusan idea untuk sediakan perkhidmatan tuk tuk di sini,” katanya.

Kata anak kelahiran Kampung Tengah itu, dia menempah kelengkapan tuk tuk tersebut dari Thailand dengan kos sekitar RM4,000 termasuk cukai.

Katanya, kemudahan tuk tuk itu juga mampu memuatkan sekitar enam orang penumpang pada satu-satu masa bagi mengelilingi kawasan perkampungan tersebut untuk meninjau beberapa lokasi menarik di sini.-utusan

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya