Naik angin di balai polis, perbuatan simpan bahan lucah terbongkar

Naik angin di balai polis, perbuatan simpan bahan lucah terbongkar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Akibat ‘naik angin’ di balai polis ketika ingin membuat laporan palsu mengenai kehilangan Mykad, perbuatan seorang lelaki yang  memiliki bahan lucah dalam telefon bimbit terbongkar. 

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, pekerja bank berusia 29 tahun itu pada mulanya membuat laporan kononnya diragut.

Katanya, berdasarkan laporan, lelaki tersebut mendakwa didatangi seorang penunggang motosikal yang melarikan beg mengandungi dokumen peribadi dan wang tunai RM250 semasa kawasan parkir Jalan Pandan Indah, Ampang. 

“Pada 5.54 petang semasa lelaki itu menunggu untuk rakaman percakapan oleh penolong pegawai penyiasat Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), dia secara tiba-tiba meninggikan suara.

“Suspek mendakwa menunggu lebih satu jam sebelum bangun dari kerusi lalu membalingnya ke arah pintu pejabat pegawai penyiasat berkenaan sambil menjerit mahu pulang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad Farouk berkata, polis kemudian menahan suspek dan pemeriksaan pada telefon bimbit menemukan beberapa rakaman video lucah.

Beliau berkata, semakan lanjut mendapati suspek tiada sebarang rekod jenayah lampau dan ujian saringan air kencing juga didapati negatif dadah.

“Suspek ditahan reman tiga hari sehingga Rabu ini. Kes disiasat mengikut Seksyen 90 Akta Polis 1967 kerana berkelakuan tidak senonoh di balai polis, Seksyen 292 Kanun Keseksaan kerana memiliki bahan lucah dan Seksyen 182 kanun sama kerana membuat laporan palsu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya