Mudahkan proses mohon wang tidak dituntut

Mudahkan proses mohon wang tidak dituntut

KERATAN laporan Utusan Malaysia semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan digesa memudahkan proses pengeluaran wang tidak dituntut (WTD) daripada Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM) kerana prosedur yang panjang dengan pelbagai kerenah birokrasi menjadi punca ramai tidak menuntut wang berkenaan. .

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Datuk Dr. Marimuthu Nadason berkata, langkah memudahkan prosedur itu perlu dilaksanakan segera bagi membantu orang ramai terutama mereka yang terkesan untuk meneruskan kelangsungan hidup dalam tempoh pasca pandemik ini.

“Kita faham setiap perkara ada prosedur tertentu, tetapi harus dipermudahkan sebab ini adalah wang mereka sendiri.

“Kena pastikan prosedur itu paling senang dan jangan banyak kerenah seperti orang ramai kena ulang-alik sampai mereka malas mahu menuntut,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Semalam, akhbar ini melaporkan, kerajaan melaburkan separuh iaitu RM7 bilion daripada RM14 bilion wang terkumpul dikategorikan WTD dalam Simpanan Tetap selaras dengan Akta Tatacara Kewangan 1957.

Jumlah RM14 bilion WTD itu adalah setakat akhir tahun lalu yang diserahkan oleh pelbagai entiti kepada Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM) sebagai pemegang amanah.

Daripada jumlah itu, RM3 bilion WTD telah dibayar balik kepada penerima yang berhak, menjadikan baki simpanan JANM adalah RM11 bilion.

Sementara itu, Pengarah Program MBA Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, pelaburan RM7 bilion wang berkenaan mampu menjana hasil sehingga RM350 juta setahun sekiranya pulangan atas pelaburan itu mencecah lima peratus setahun.

“Sebolehnya kita mahu WTD itu diberikan kepada mereka yang sepatutnya mendapatkan wang tersebut kerana jika dipulangkan kepada individu mampu membantu mereka dan merancakkan aktiviti ekonomi.

“Namun, sementara menunggu tuntutan dibuat oleh mereka, hasil tambahan ini boleh digunakan oleh kerajaan untuk dibelanjakan ke atas projek-projek dan inisiatif yang membantu rakyat dan masyarakat,” katanya.

Dalam pada itu, pakar ekonomi dari City University Malaysia, Prof. Madya Dr. Abu Sofian Yaacob berkata, mana-mana pelaburan WTD perlu dilaburkan pada badan atau agensi terutama institusi kerajaan yang boleh dipercayai dan berpengalaman.

“Kalau kerajaan mahu labur, pastikan pelaburan dibuat oleh institusi yang sudah biasa buat (pelaburan) seperti Permodalan Nasional Berhad (PNB); Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) atau Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP).

“Itu cara paling selamat. Jangan serahkan pada individu atau syarikat yang belum terbukti lagi,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN