MPM diminta kaji semula caj RM5 cetak bil cukai taksiran - Utusan Malaysia

MPM diminta kaji semula caj RM5 cetak bil cukai taksiran

NOTIS pemakluman tiada cetakan bil cukai taksiran diletakkan di luar premis Kaunter Khidmat Pelanggan MPM di Seri Manjung. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Majlis Perbandaran Manjung (MPM) digesa mengkaji semula keputusannya mengenakan caj sebanyak RM5 kepada orang awam yang ingin mendapatkan cetakan bil cukai pintu bermula 1 Januari lalu.

Penduduk yang ingin mendapatkan bil tanpa cetakan sebaliknya boleh mendapatkannya menerusi aplikasi WhatsApp atau menggunakan aplikasi MyManjung.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Astaka, Jason Ng Thien Yeong, walaupun pihaknya mengalu-alukan dasar ‘paperless’ atau tanpa kertas, kadar itu disifatkan terlalu mahal dan seolah-olah suatu bentuk denda kepada mereka yang tidak berkemampuan.

“Oleh itu, kami terpaksa mengemukakan bantahan kepada MPM kerana ramai warga emas, golongan berpendapatan rendah dan lain-lain tidak mampu menggunakan telefon pintar akan dihukum dengan bayaran RM5 tersebut kerana tidak dapat mendapat bil cukai pintu mereka.

“Ramai penduduk khususnya golongan warga emas tidak mahir menggunakan telefon pintar membuat aduan kepada kami, jadi kami berpendapat bahawa dasar ini adalah bersifat diskriminasi,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Menurut ADUN Pantai Remis, Wong May Ing, selepas membuat semakan dengan Yang DiPertua dan Setiausaha MPM, mereka dimaklumkan bahawa dasar itu telah diluluskan pada 2020 dan dilaksanakan mengikut jadual masa yang ditetapkan iaitu bermula 1 Januari 2023.

Pada masa sama, jelasnya, MPM tidak lagi mengeluarkan dan mengedarkan bil cukai taksiran secara bercetak sejak 2020 tetapi masih membuat percetakan secara percuma kepada orang ramai yang membuat semakan di kaunter MPM sebelum 31 Disember tahun lalu.

Jelasnya, mereka diberitahu MPM dalam melaksanakan dasar ‘paperless’ hanya akan menghantar bil cukai pintu kepada orang ramai melalui applikasi Whatsapp selain turut menggalakkan orang ramai menggunakan aplikasi MyManjung untuk membuat semakan cukai pintu.

Begitupun, May Ing memaklumkan pihak mereka tetap membantah keputusan mengenakan caj RM5 kerana dianggap terlalu mahal dan menimbulkan masalah baharu dan membebankan pula kepada penduduk di daerah tersebut.

“Kita tidak mahu timbul isu kerajaan tidak tahu menjaga rakyat tetapi hanya tahu membebankan rakyat pula,” ujar beliau.

Sementara itu, MPM dalam notis pemaklumannya yang diletakkan di luar premis kaunter perkhidmatan pelanggannya, menyatakan tiada lagi cetakan dan edaran bil cukai taksiran sejak 2020.

Penduduk yang ingin mendapatkan bil tersebut boleh mendapatkannya menerusi aplikasi MyManjung atau WhatsApp di talian 011-10729767 atau 011-10929765. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN