KUALA LUMPUR: Sebanyak RM450 juta setahun diperlukan bagi menambah baik kemudahan perumahan Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) sehingga tahun 2030.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, peruntukan tersebut mencukupi untuk menyelesaikan masalah berkaitan perumahan membabitkan anggota tentera.
“Saya berharap masa bahas RMK13 (Rancangan Malaysia Ke-13), RM450 juta dapat diberikan untuk penyelenggaraan rumah anggota tentera sehingga tahun 2030,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Bakri Jamaluddin (PN-Tangga Batu) mengenai rancangan jangka panjang Kementerian Pertahanan langkah penyelesaian masalah berkaitan perumahan anggota tentera pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Dalam pada itu, Mohamed Khaled ketika menjawab soalan asal Manndzri Nasib (BN-Tenggara), berkata, kementerian merancang membina sebanyak 12,733 unit RKAT baharu sehingga 2030, tertakluk keupayaan semasa kewangan kerajaan.
Katanya, untuk tahun ini sebanyak RM426.4 juta bagi kerja-kerja penyelenggaraan RKAT dengan peningkatan sebanyak 6.62 peratus berbanding RM400 juta pada 2024 dan RM236.7 juta pada 2023,” katanya.
Katanya, sejak 2022, sebanyak enam Projek Bina Baru RKAT membabitkan 2,812 unit baru di seluruh negara sudah siap dibina.
“Selain daripada itu, sebanyak 10 buah Projek Bina Baru RKAT di bawah RMK-12 yang membabitkan 3,206 unit baru di seluruh negara sedang dalam proses pembinaan, membabitkan kos RM1.002 bilion, akan dijangka siap menjelang 2026.
“Seterusnya, sebanyak lapan projek bina baru RKAT yang membabitkan 2,456 unit baharu masih dalam fasa perolehan dan ini membabitkan RM1.4 bilion,” katanya.
Katanya, bilangan unit RKAT yang diselenggara adalah 19,978 unit pada 2023 dan 20,954 unit pada 2024, sementara tahun ini, menyasarkan penyenggaraan sebanyak 11,607 unit lagi.
“Kementerian Pertahanan juga menyasarkan sebanyak 55,622 unit RKAT akan melalui proses senggaraan menjelang 2030,” katanya. – UTUSAN









