Mohd. Reza bersara selepas 42 tahun dalam TLDM - Utusan Malaysia

Mohd. Reza bersara selepas 42 tahun dalam TLDM

MOHD. Reza Mohd. Sany diberi penghormatan sempena persaraannya di Pangkalan TLDM Lumut, Perak, hari ini. - UTUSAN/IHSAN TLDM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Laksamana Tan Sri Mohd. Reza Mohd. Sany diraikan dalam majlis istiadat penghormatan sempena persaraan beliau di Pangkalan TLDM Lumut hari ini.

Majlis dimulai dengan perbarisan penghargaan Panglima TLDM oleh 26 pegawai dan 538 anggota diketuai oleh Pegawai Memerintah Kapal Diraja (KD) Laksamana Muhammad Amin, Komander Mohd. Lokman Bajuri di KD Pelandok.

Mohd. Reza dan isteri, Puan Sri Maslina Ismail kemudian hadir pada program Majlis Ramah Mesra bersama kira-kira 300 warga TLDM di Auditorium M Sidek Shabudin.

Beliau dan isteri kemudian menaiki kenderaan diberi penghormatan ‘street lining’ oleh 1,575 warga TLDM dan kakitangan awam di sepanjang jalan dari Auditorium M Sidek Shabudin sehingga Jeti Air Dalam di Markas Pemerintahan Armada Barat.

Kemuncak acara penghormatan ialah acara ‘Fleet Review’ di perairan Pulau Pangkor melibatkan 15 kapal, lima bot pemintas Bot Tempur Pantas (FCB), 15 bot tempur ‘Rigid-Hulled Inflatable Boat (RHIB) dan lapan helikopter terdiri daripada lima helikopter Fennec, dua Super Lynx serta sebuah helikopter Operasi Maritim.

Pada majlis itu, Mohd. Reza dibawa menaiki KD Lekiu sebagai simbolik penghargaan terhadapnya yang pernah menjadi Pegawai Memerintah kapal tersebut mulai 23 Mei 2002 sehingga 31 Mei 2003.

Menurut kenyataan Cawangan Komunikasi Strategik, Markas Tentera Laut hari ini, Mohd. Reza mula mengambil alih tampuk pemerintahan TLDM pada 30 November 2018 dan akan bersara pada 13 Ogos tahun ini setelah 42 tahun berkhidmat.

Sepanjang menyandang jawatan itu, tahap kesiapsiagaan armada TLDM menjadi fokus utama beliau agar tanggungjawab mempertahankan kedaulatan sempadan maritim negara dapat dilunaskan tanpa kompromi walaupun berhadapan dengan pelbagai kekangan dan situasi global yang mencabar.

Bersandarkan pegangan prinsip ‘Kita wujud disebabkan armada’ (We Exist Because of the Fleet), beberapa inisiatif telah direalisasikan semasa pemerintahan beliau khususnya bagi menangani aset usang TLDM.

Jelas kenyataan itu, inisiatif tersebut adalah Obsolescence Programme (OP) dan Program Repowering yang dilaksanakan ke atas kapal-kapal TLDM yang telah berusia.

“OP bertujuanmenggantikan struktur atau badan kapal serta keseluruhan sistemnya, kecuali beberapa peralatan legasi seperti meriam.

“Kapal-kapal yang terlibat dalam program ini adalah dari Skuadron Fast Attack Craft (FAC) M,” ujar kenyataan tersebut.

Sehingga kini, sebuah kapal dalam proses akhir OP manakala dua buah lagi akan dilaksanakan dalam masa terdekat.

Program Repowering pula dijalankan untuk menggantikan sistem kuasa gerak iaitu enjin, kotak gear dan propeller serta sistem jana kuasa bagi kapal dari skuadron FAC (G).

Sehingga kini, sebanyak lapan kapal telah selesai menjalani Program Repowering.

“Hasil daripada kedua-dua program ini bukan sahaja telah meningkatkan kesiagaan dan keupayaan operasi Armada, malah menjadi inisiatif berkesan dalam menyokong langkah penjimatan sumber kewangan negara,” ujar kenyataan itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya