Mesyuarat Selangor-Pahang: Komitmen jaminan bekalan air - Utusan Malaysia

Mesyuarat Selangor-Pahang: Komitmen jaminan bekalan air

Selangor Pahang air
WAN Rosdy Wan Ismail bersama Amirudin Shari dalam sidang akhbar selepas mesyuarat dua hala pertama Pahang dan Selangor di Kuantan, Pahang, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Penyaluran dan pengurusan kualiti air mentah menjadi antara agenda Mesyuarat Dua Hala Menteri Besar Pahang, Datuk Sri Wan Rosdy Wan Ismail bersama Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari di Kuantan hari ini.

Mesyuarat tersebut merupakan pertemuan yang julung-julung kali diadakan antara kedua pihak sejak Kerajaan Perpaduan Negeri Pahang ditubuhkan. 

Mereka dalam kenyataan akhbar bersama berkata, selain pengurusan air, kerajaan di kedua-dua negeri itu komited untuk mengukuhkan hubungan yang memberi impak tinggi kepada rakyat.

“Mesyuarat tersebut turut membincangkan mobiliti yang melibatkan penggunaan jalan, ke arah mengurangkan kesesakan jalan terutamanya perjalanan antara Gombak – Bentong.

“Kami juga membincangkan tentang kawalan pembangunan kawasan berisiko yang melibatkan cerun termasuk peraturan dan pemantauan,” katanya dalam kenyataan tersebut hari ini.

Terdahulu, projek bekalan air kepada penduduk di Lembah Klang, Langat 2 dilaporkan siap sepenuhnya pada hujung tahun ini seperti dimaklumkan bekas Pengerusi Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) Datuk Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali pada Februari tahun lalu.

Langat 2 yang melibatkan pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) bernilai RM3.7 bilion mampu membekalkan air sehingga 1.13 bilion liter sehari kepada penduduk di Lembah Klang.

Pembinaan LRA Langat 2 adalah berdasarkan cadangan Skim Bekalan Air Langat 2 iaitu merawat air mentah yang dibekalkan melalui Projek Pemindahan Air Mentah Pahang-Selangor (PPAMS).

Bekalan air dari sumber tersebut akan diagihkan kepada pengguna di Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bagi memenuhi permintaan air dari kawasan Hulu Langat, Ampang, AU3, Kuala Lumpur, Cheras, Sg. Besi, Bukit Jalil, Petaling dan Puchong.

Menurut kenyataan itu lagi, dalam mesyuarat sama, Selangor dan Pahang turut membincangkan isu perhutanan dan persempadanan negeri Selangor-Pahang dan kerjasama hal ehwal latihan perkhidmatan awam dan gerak kerja kesukarelawanan bencana alam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.