Mekanisme kawalan harga dikaji elak bekalan kurang

Mekanisme kawalan harga dikaji elak bekalan kurang

SALAHUDDIN Ayub ketika sidang akhbar selepas menyampaikan amanat pada Majlis Amanat Tahun Baharu KPDN Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bakal mengumumkan mekanisme bersesuaian bagi menggantikan kaedah kawalan harga.

Perkara itu dimaklumkan menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub yang mengulas gesaan Persekutuan Peniaga Barang Runcit Malaysia untuk menangani isu kekurangan bekalan.

“Kita memang ada kaji pelbagai mekanisme yang terbaik dan saya akan mengumumkan dalam masa terdekat, insya-Allah,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan KPDN serta menyampaikan Amanat Tahun Baharu 2023 di sini hari ini.

Minggu lalu, presiden persatuan tersebut, Hong Chee Meng ketika diwawancara sebuah akhbar Cina tempatan menyarankan agar kerajaan menghapuskan sistem kawalan harga dan mendakwa kesemua produk ada masalah kekurangan stok selama ini merupakan barang yang dikawal harga tetapi isu ini tidak pula dialami oleh barangan tanpa kawalan.

Antara contoh yang berlaku ialah minyak masak paket satu kilogram bersubsidi apabila masih lagi tidak cukup sedangkan bekalannya adalah berlebihan di pasaran seluruh negara.

Situasi itu ujar Chee Meng disebabkan sifat semula jadi pengguna tempatan yang suka membeli barangan harga murah dikawal kerajaan dan peniaga pula tidak pula boleh kawal.

Mengulas lebih lanjut, Salahuddin bagaimanapun enggan memberi bayangan apakah bentuk mekanisme yang sesuai bagi menggantikan sistem kawalan harga siling ketika ini.

“Saya cuma boleh kata bahawa kajian mengenai perkara berkenaan (mekanisme kawalan harga barang bersubsidi) telah dilakukan lebih setahun dan masih diteliti KPDN,” katanya.

Ditanya rungutan dalam kalangan pengguna mengenai isu minyak masak bersubsidi yang kurang, beliau berkata, secara keseluruhan bekalan stok berkenaan adalah amat cukup.

Sebaliknya jika berlaku isu tersebut, ia hanya melibatkan lokasi tertentu dengan aduan kes yang diterima bahagian penguatkuasaan KPDN membabitkan tempat berkenaan sahaja.

Justeru, beliau meminta pengguna yang memang betul ada menghadapi masalah stok produk itu kurang agar segera mengadu kepada pihak kementerian untuk diambil tindakan.

Bahkan beliau memberi jaminan bahawa semua aduan yang dihantar itu akan dilayan dengan serta-merta oleh penguat kuasa KPDN terus ke lokasi sasaran dimaklumkan pengguna.

Menyentuh isu bekalan telur ayam import dari India, Salahuddin berkata, setakat ini hanya rangkaian pasar raya Mydin di seluruh negara yang didapati menawarkan produk tersebut.

“Pihak kerajaan membenarkan kemasukan telur itu untuk mengatasi masalah kekurangan tetapi selepas tiga minggu dilaksanakan, tidak semua premis runcit ada jual telur ini,” katanya.

Sehubungan itu, beliau akan berbincang balik dengan pihak Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan bagi mencari punca sebenar serta kaedah yang lebih baik selepas ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya