BANGI: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan manjalankan penguatkuasaan secara tegas terhadap produk yang dilabel dengan kempen memboikot produk minyak kelapa sawit.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, industri kelapa sawit adalah penyumbang terbesar kepada ekonomi negara dan semua pihak perlu mempertahankan perniagaan itu daripada didiskriminasi.
Menurut beliau, tiada alasan untuk KPDN mahupun kementerian dan agensi lain untuk berdiam diri terhadap sebarang kempen memboikot produk kelapa sawit.
“Kita turut mengalu-alukan saranan Menteri Perladangan dan Komoditi agar Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dapat meningkatkan penguatkuasaan dari awal kemasukan.
“Ia juga akan melengkapkan ekosistem bukan sahaja penguatkuasaan KPDN apabila produk itu sampai di premis perniagaan tetapi kawal selia itu sudah bermula dari pintu masuk negara,” kata beliau selepas Majlis Perasmian Richiamo Mart di sini, hari ini.
Terdahulu, KPDN menyarankan kepada peniaga supaya tidak menjual produk yang dilabel dengan kempen memboikot produk minyak kelapa sawit.
Mengenai status terkini audit minyak masak peket bersubsidi dan pendedahan senarai syarikat pembungkusan semula minyak masak bersubsidi yang dikenal pasti terbabit dalam penyelewengan, Armizan berkata, proses tersebut berada pada peringkat akhir dan bakal diumumkan kelak.
Katanya, proses audit yang bermula Oktober tahun lalu hampir lengkap dan tindakan seperti pembatalan lesen pembungkusan terhadap beberapa syarikat telah diambil.
“Audit dan senarai lengkap akan diumumkan dalam masa terdekat setelah mengambil kira semua langkah penambahbaikan yang akan dilaksanakan.
“Kita bukan sekadar jalankan audit tetapi turut melaksanakan langkah memperkemas perkara ini agar subsidi rakyat betul-betul sampai kepada kumpulan sasaran.
“Hal ini termasuk cadangan supaya minyak masak peket tidak dijual kepada warga asing. Pada saya, pelaksanaan perlu datang dengan mekanisme penguatkuasaan.
Larangan tanpa ada mekanisme tidak memadai. Ia perlu dilihat secara lebih holistik dari segi penyaluran, pelantikan serta penguatkuasaan,” katanya. – UTUSAN










