BUTTERWORTH : Seorang penolong pegawai penguat kuasa di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengaku tidak bersalah ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas dakwaan menipu, dua tahun lalu.
Tertuduh, Mohd Zaimi Sham Mahmood, 50, membuat pengakuan itu ketika pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa telah menipu seorang lelaki berusia 45 tahun dengan memperdayakan mangsa untuk mempercayai bahawa Jawatankuasa Rayuan Kompaun di Ibu Pejabat KPDN Putrajaya telah menolak rayuan kompaun mangsa bagi kesalahan berhubung Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122).
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Jalan Persiaran Bayan Indah dalam daerah Barat Daya, dekat sini, antara jam 5.35 petang hingga 5.50 petang, pada 13 Mei 2022.
Bapa kepada empat orang anak yang ketika itu bertugas sebagai penolong pegawai penguat kuasa Gred KP29 di Cawangan KPDN Timur Laut dikatakan kononnya ingin membantu mangsa mengurangkan kadar kompaun berkenaan yang bagaimanapun secara curangnya telah mendorong mangsa untuk menyerahkan wang berjumlah RM3,000.
Mengikut pertuduhan juga, mangsa tidak akan menyerahkan wang berkenaan kepada tertuduh sekiranya tidak diperdayakan sedemikian.
Atas kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara antara tempoh satu hingga 10 tahun, dikenakan hukuman sebat serta boleh didenda.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Afiqa Liyana Rozman manakala tertuduh diwakili peguam, V Parthipan.
Terdahulu, ketika prosiding, Afiqa Liyana memohon agar jaminan dikenakan terhadap tertuduh sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin selain mengenakan syarat tambahan iaitu meminta tertuduh menyerahkan passport antarabangsa serta melapor diri di pejabat SPRM terdekat sekali setiap bulan hingga kes selesai.
Namun, peguam tertuduh dalam rayuannya meminta agar jaminan munasabah dikenakan terhadap anak guamnya memandangkan tertuduh yang telah berkhidmat selama lebih 20 tahun di KPDN hanya berpendapatan RM2,000 sebulan serta perlu menyara empat orang anak yang masih bersekolah termasuk anak sulungnya yang kini berada di sebuah institut pengajian tinggi (IPT).
Zulhazmi kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin selain perlu mematuhi syarat tambahan seperti yang dikemukakan pihak pendakwaan.
Pada masa yang sama, beliau turut menetapkan 29 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes.-UTUSAN










