Majlis Presiden PH putuskan bakal pengerusi PAC

Majlis Presiden PH putuskan bakal pengerusi PAC daripada pembangkang

FAHMI Fadzil bercakap kepada pemberita selepas mesyuarat Majlis Presiden PH di ibu pejabat PKR, di Petaling Jaya hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) memutuskan bahawa Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan diisi oleh pembangkang di Dewan Rakyat. 

Perikatan Nasional (PN) yang terbentuk melalui Langkah Sheraton pada 2020 dan mentadbir kerajaan Persekutuan sebelum ini kini bertindak sebagai pembangkang di Dewan Rakyat.

Pengarah Komunikasi PH, Fahmi Fadzil berkata, keputusan itu dicapai sebulat suara oleh pemimpin-pemimpin PH dalam mesyuarat yang dipengerusi oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.

“Oleh kerana pada waktu ini belum ada perbincangan dengan pembangkang mengenai perkara tersebut, maka, majlis presiden memutuskan bahawa pengerusi PAC nanti daripada pembangkang,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mesyuarat Majlis Presiden PH di ibu pejabat PKR hari ini. 

Sebelum pembubaran Parlimen bagi penggal ke-14 lalu, Ahli Parlimen Ipoh Timur daripada DAP, Wong Kah Woh ketika itu dipilih sebagai Pengerusi PAC menggantikan Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Dr. Noraini Ahmad. 

Ketika itu, PN dan Barisan Nasional (BN) mentadbir kerajaan Persekutuan manakala PH bertindak sebagai pembangkang. 

Di bawah seliaan Kah Woh, beliau pada tahun lalu berjaya menyelesaikan beberapa siasatan projek kerajaan termasuk perolehan kapal tempur pesisir pantai (LCS) milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) oleh Boustead Naval Shipyard Sdn. Bhd. (BNS).

Sebelum ini, dilaporkan tiada satu pun LCS disiapkan meskipun kerajaan telah membayar RM6.083 bilion untuk projek itu menerusi kontrak kepada BNS secara rundingan terus.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata, ketika ini belum ada senarai calon pengerusi PAC diberikan kerana jawatankuasa pemilih Dewan Rakyat akan mengadakan mesyuarat terlebih dahulu sebelum menamakan mana-mana wakil rakyat pembangkang ke dalam jawatan itu. 

“Belum ada nama lagi, cuma, dari segi semak dan imbang ia membuahkan hasil yang positif (melantik pembangkang sebagai pengerusi). 

“Ia memberi fokus kepada proses semak imbang, urus tadbir dan tatakelola dan banyak daripada kes sebelum ini kita tidak pasti sama ada diteruskan atau tidak. Jadi, terpulanglah kepada jawatankuasa itu nanti. 

“Sekiranya ada kes-kes yang terkait dengan siasatan-siasatan sebelum ini seperti isu transaksi dan sebagainya, terpulang kepada jawatankuasa yang baharu nanti untuk buat siasatan sendiri,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya