Letup: Suami isteri didakwa bunuh pembantu tukang masak

Letup: Suami isteri didakwa bunuh pembantu tukang masak

SEPASANG suami isteri dibawa ke Mahkamah Majistret Ampang bagi menghadapi pertuduhan membunuh seorang pembantu tukang masak dalam kejadian letupan di Pandan Indah, Ampang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sepasang suami isteri didakwa di Mahkamah Majistret Ampang dekat sini, hari ini atas pertuduhan membunuh seorang pembantu tukang masak dalam kejadian letupan di Pandan Indah, Ampang, hujung bulan lalu.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada Khor Swee Boon, 33, dan isterinya, Ng Hui Yee, 30, selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Majistret Normaizan Rahim.

Mereka dituduh bersama-sama membunuh Cho Lim Fong, 29, pada 29 Disember 2022 kira-kira pukul 8.55 malam di hadapan restoran Jing Hoe Mei, Jalan Pandan Indah 1/22 dekat sini.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Kedua-dua pasangan suami isteri itu diwakili oleh peguam bela, R.S.N Rayer yang juga Ahli Parlimen Jelutong, manakala pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Amirah Sam Kamaruddin.

Pada prosiding itu, Rayer memohon tertuduh wanita dibenarkan ikat jamin atas alasan anak guamnya mempunyai dua anak kecil masing-masing berusia lima dan tujuh tahun dan mahkamah mempunyai budi bicara untuk membenarkannya.

Beliau turut merujuk kepada kes isteri Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund Sdn. Bhd., Samirah Muzaffar yang dibebaskan dengan jaminan RM500,000 oleh Mahkamah Persekutuan sementara menunggu perbicaraan atas dakwaan membunuh suaminya.

Permohonan ikat jamin itu bagaimanapun dibantah oleh Nurul Amirah dengan menyatakan, mahkamah tidak perlu menggunakan budi bicara membenarkan jaminan kerana tiada keadaan khas yang mewajarkan mahkamah berbuat demikian.

Normaizan menetapkan 23 Mac ini sebagai tarikh sebutan kes bagi serahan dokumen, laporan bedah siasat forensik dan kimia.

Media sebelum ini melaporkan sepasang suami isteri ditahan berhubung insiden serangan bom yang mengorbankan seorang lelaki di Pandan Indah pada 29 Disember 2022.

Suspek ditahan di sebuah rumah di Kedah apabila sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya membuat serbuan untuk menahannya.

Ketika kejadian, mangsa difahamkan sedang cuba memeriksa bungkusan mencurigakan yang ditinggalkan di atas kereta miliknya sebelum bungkusan itu meletup.

Insiden itu mengakibatkan mangsa mengalami kecederaan parah pada bahagian badan serta tangan dan meninggal dunia di Hospital Ampang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya