Lelaki Yemen didakwa edar ganja 221 kg berdepan hukuman mati

Lelaki Yemen didakwa edar ganja 221 kg berdepan hukuman mati

LELAKI Yemen dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Sepang atas pertuduhan mengedar dadah jenis ganja lebih 221 kilogram. - UTUSAN/KAMARIAH KHALIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Seorang lelaki warga Yemen berdepan hukuman mati selepas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan mengedar dadah jenis ganja lebih 221 kilogram di Bandar 16 Sierra, Puchong pada 15 Januari lalu.

Abdulaziz Musaed Ahmed, 23, yang memakai pakaian lokap berwarna ungu mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa dalam bahasa Inggeris di hadapan Hakim Ahmad Fuad Othman yang bertindak sebagai Majistret.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan berikutan kes itu berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan satu dan dua, tertuduh yang juga seorang penganggur didakwa mengedar dadah disyaki jenis kanabis anggaran berat 231 gram dan 1,879 gram di sebuah unit kediaman di Jalan Sierra 10/1, Bandar 16 Sierra, Puchong pada pukul 10.10 malam, 15 Januari lalu.

Bagi pertuduhan ketiga, tertuduh didakwa mengedar dadah disyaki jenis kanabis anggaran berat 219,157 gram di sebuah lot parkir pada masa, tarikh dan lokasi yang sama.

Semua kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B (2) akta sama.

Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada 15 sebatan jika tidak dihukum dengan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Di mahkamah sama, tertuduh turut didakwa memasukkan dadah berbahaya jenis amphetamine, methamphetamine dan THC di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang pada pukul 9 pagi, 16 Januari lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum dibawah Seksyen 15(1)(a) dan dibaca bersama Seksyen 38B akta sama.

Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun manakala Seksyen 38B memperuntukkan tertuduh menjalani perintah pengawasan bagi tempoh tidak kurang daripada dua tahun dan tidak lebih daripada tiga tahun sebagaimana ditetapkan mahkamah.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Norhana Sahat, manakala tertuduh diwakili peguam, Zaflee Pakwanteh.

Mahkamah tidak menawarkan jaminan dan menetapkan 8 Mei depan sebagai tarikh serahan laporan kimia.

Media sebelum ini melaporkan polis menahan seorang lelaki warga asing dan merampas dadah jenis ganja seberat 221.26 kilogram menerusi serbuan di sebuah kondominium di Bandar Sierra 16, Puchong, 15 Januari lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya