Laporan berita positif atau provokasi tetap beri impak kepada ahli politik - Utusan Malaysia

Laporan berita positif atau provokasi tetap beri impak kepada ahli politik

SAARANI Mohamad (tiga dari kanan) beramah mesra dengan Aina Afieyah Muhamad Nazreen Shah yang menghidap penyakit kulit rapuh pada Malam Media Perak bersama Menteri Besar di Laman Sri Ridzuan, Ipoh semalam. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Penulisan sesuatu berita sama ada berbentuk positif mahupun provokasi, memberi impak tersendiri kepada perjalanan kerjaya seseorang pemimpin politik.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pujian, teguran dan kritikan yang diutarakan melalui laporan itu diakui akan lebih mematangkan ahli politik dalam mendepani cabaran kerjaya mereka.

“Dua dekad saya berkecimpung dalam politik, sejak menjadi wakil rakyat pada tahun 1999 sehinggalah menjadi Menteri Besar, rakan-rakan media setiap hari akan mengejar berita dan setiap hari juga cuba menjadi yang pertama mendapat berita.

“Sama ada tulisan itu tulisan yang provokasi atau betul, sebenarnya banyak membantu saya untuk mengenali kehidupan politik ini. Anda adalah sebahagian daripada perjalanan politik saya,” katanya ketika berucap dalam majlis Malam Media Perak bersama Menteri Besar di Laman Sri Ridzuan di sini semalam.

Menurut Saarani, hubungan baik antara pemimpin dengan media perlu sentiasa dipelihara dan dikekalkan.

“Saya sangat teruja untuk hadir pada majlis ini. Seboleh mungkin, saya akan cuba untuk tidak melukakan hati orang media kerana anda penting dalam hidup saya dalam tempoh saya berkecimpung dalam politik.

“Saya sentiasa mendapat dokongan yang sangat baik oleh rakan-rakan media. Sama ada menjadi ADUN biasa, menjadi Exco, menjadi ketua pembangkang sehinggalah menjadi Menteri Besar, media selalu ada untuk membantu,” katanya.

Malam Media anjuran Pejabat Menteri Besar bersama Persatuan Pengamal Media Perak (PPMP) itu menghimpunkan lebih 80 pengamal media daripada hampir 25 agensi.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan NGO, Mohd. Azlan Helmi; Pengarah Penerangan Perak, Mohd. Rizal Hashim; Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar Perak (MB Inc), Anuar Zainal Abidin dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk), Datuk Redza Rafiq Abdul Razak.

Pada majlis itu, PPMP turut menerima sumbangan bagi tabung persatuan berjumlah RM20,000 daripada kerajaan negeri dan RM10,000 daripada MB Inc.

Turut disampaikan dana perubatan berjumlah RM5,000 kepada Aina Afieyah Muhamad Nazreen Shah anak kepada jurugambar Utusan Malaysia yang menghidap penyakit Epidermolysis Bullosa (EB) atau kulit rapuh.

Sementara itu, Pengerusi PPMP, Sayed Mohd. Hesyam Sayed Idris berharap penganjuran malam media ini akan menjadi titik tolak kepada hubungan lebih erat bukan sahaja antara media dengan kerajaan tetapi dalam kalangan petugas media itu sendiri.

“Selain berfungsi sebagai jambatan antara media dan kerajaan negeri serta agensi-agensinya, PPMP juga sedaya upaya aktif menjaga kebajikan rakan-rakan media terutama dalam kalangan mereka yang sakit dan memerlukan bantuan kewangan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.