Kosongkan kerusi Parlimen, jawapan dihantar kepada Speaker

Kosongkan kerusi Parlimen, jawapan telah dihantar kepada Speaker Dewan Rakyat- Hajiji

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Empat bekas ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) telah menghantar jawapan kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat mengenai kekosongan kerusi.

Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor berkata, keempat-empat ahli Parlimen GRS itu menghantar jawapan kepada Speaker Dewan Rakyat selepas kepimpinan Bersatu mengumumkan berlaku kekosongan kerusi di kawasan diwakili keempat-empat ahli Parlimen GRS berkenaan.

Empat ahli Parlimen itu ialah Datuk Armizan Mohd. Ali (Papar), Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi), Datuk Jonathan Yasin (Ranau) dan Datuk Matbali Musah (Sipitang).

“Banyak spekulasi di luar sana tapi kita di dalam (GRS), kita tahu rentetan dan keadaan yang berlaku.

“Namun, saya yakin Speaker akan membuat keputusan yang terbaik kerana mereka sebenarnya sudah memenuhi (syarat) sehingga mereka tidak terlibat dalam anti lompat parti,” katanya selepas majlis penyampaian bantuan kepada mangsa air pasang besar di Kampung Tanjung Aru Baru hari ini.

Beliau berkata demikian semasa mengulas tentang pengosongan kerusi empat bekas ahli Parlimen Bersatu Sabah.

Pada 29 Disember lalu, Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Ronald Kiandee memaklumkan kepimpinan Bersatu telah menghantar notis kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat bahawa telah berlaku kekosongan luar jangka menurut Perkara 49A(3) Perlembagaan Persekutuan melibatkan empat daripada ahli Bersatu yang bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) sebagai ahli parti Bersatu dengan menggunakan logo parti GRS.

Ronald berkata, keahlian keempat-empat ahli Parlimen itu sebagai anggota parti Bersatu telah gugur mengikut perlembagaan parti dan perkara ini telah dimaklumkan melalui surat Bersatu bertarikh 21 Disember.

Mengenai parti baharu, Hajiji yang juga bekas Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah itu berkata, pihaknya akan mengumumkan tentang parti baharu yang akan disertai Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) GRS dalam masa terdekat.

“Tunggu sahaja dalam masa terdekat ini, kita akan umumkan nanti,” katanya.

Sebelum ini, Hajiji menyatakan akan menubuhkan sebuah parti tempatan yang baharu namun, buat sementara waktu mereka secara kolektif akan menjadi ahli GRS secara langsung.

Hadir sama ialah Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Shahelmey Yahya; Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Abidin Madingkir dan Setiausaha Kerajaan Negeri (SKN) Datuk Seri Safar Untong. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya