Kerajaan belum putus teruskan PerantiSiswa atau tidak - Nie Ching

Kerajaan belum putus teruskan PerantiSiswa atau tidak – Nie Ching

TEO Nie Ching (tengah) bergambar bersama penuntut yang menerima tablet pada Majlis Penyerahan Perantisiswa di SMK Tunku Abdul Rahman Putra, Kulai, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULAI: Kerajaan belum memutuskan sama ada akan meneruskan program Inisiatif PerantiSiswa atau tidak kepada penuntut daripada keluarga B40 pada tahun ini.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching berkata, keputusan itu akan dibuat selepas Menteri Kewangan membentangkan Belanjawan 2023 pada Mac ini.

“Lulus atau tidak bergantung pengumuman Menteri Kewangan (Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim) dalam pembentangan Bajet 2023 pada sidang Parlimen akan datang,” katanya kepada pemberita pada Majlis Pengagihan PerantiSiswa Zon Selatan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Abdul Rahman Putra, di sini hari ini.

Inisiatif PerantiSiswa merupakan program kerajaan terdahulu untuk menyediakan peranti kepada mahasiswa institusi pengajian tinggi (IPT) daripada keluarga B40.

TEO Nie Ching menyampaikan tablet kepada Intan Maisarah Muhamad Nizam yang mengalami kecederaan kaki pada Majlis Penyerahan Perantisiswa di SMK Tunku Abdul Rahman Putra, Kulai, Johor.

Dalam pada itu, Nie Ching yang juga Ahli Parlimen Kulai berkata, hingga kini pihaknya menerima sebanyak 63,000 rayuan daripada golongan mahasiswa dan daripada jumlah itu sebanyak 25,000 rayuan telah diluluskan, manakala bakinya masih menunggu keputusan semakan pengesahan daripada IPT mereka.

“Hingga Januari tahun ini, sebanyak 474,311 permohonan telah diterima dan 362,016 permohonan diluluskan. Lebih 83 peratus atau 301,737 tablet sudah diedarkan di seluruh negara hingga 15 Januari,” katanya.

Menurutnya, daripada jumlah agihan itu, sebanyak 23,435 peranti sudah diterima mahasiswa di negeri Johor.

Sementara itu, penuntut jurusan Diploma Kosmetologi Kolej Vokasional ERT Azizah, Intan Maisarah Muhamad Nizam, 19, mengakui peranti tersebut dapat membantu dan memudahkan proses pembelajaran terutamanya untuk mendapatkan maklumat dalam internet selain menyiapkan tugasan.

“Sebelum ini, kalau nak buat tugasan kena pakai komputer kolej dan perlu ‘berebut’ dengan pelajar lain, tetapi apabila ada tablet ini, kerja lebih mudah, sangat membantu kami,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya