Utamakan ekonomi sekiranya perlu sekat kemasukan pelancong

Keperluan ekonomi semasa perlu diutamakan sekiranya perlu sekat kemasukan pelancong China

DR HELMY HAMZI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUCHING: Menangguhkan kemasukan pelancongan dari China sudah tentu boleh dilakukan, namun ia perlu dilihat juga kepada keperluan ekonomi semasa dan transisi ke arah endemik.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, pakar perubatan kesihatan awam Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Dr. Helmy Hazmi berkata kalau tangguh, tangguh sehingga gelombang di China mengurang.

“Sementara itu, beberapa langkah perlu dilakukan seperti, memastikan pekerja industri pelancongan menerima dos penggalak 1 dan 2, dan dari jenis vaksin terkini.

“Pekerja industri pelancongan membentuk satu lingkaran perlindungan di antara pelancong dan rakyat tempatan,” ujarnya.

Tegas Dr Helmy lagi, pemberian dos penggalak perlu diberikan perhatian sekali lagi dan ia perlu dilakukan secara lebih meluas pada ketika ini.

“Meluaskan lagi liputan dos 1 dan 2, terutamanya di kalangan warga emas dan komorbiditi, walaupun liputan dos utama adalah tinggi.

“Tahap imunisasi berkemungkinan berkurangan bagi mereka yang hanya menerima dos utama,” tambahnya.

Baru-baru ini Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa menekankan sebarang keputusan berkaitan ketibaan pengembara luar negara khususnya dari China perlu dibincangkan secara komprehensif dan diputuskan di peringkat Kabinet.

Beliau berkata keputusan itu perlu dibuat secara bersama dengan mengambil input daripada pelbagai kementerian dan bukan hanya Kementerian Kesihatan sahaja kerana ia membabitkan aspek ekonomi, pelancongan serta keselamatan rakyat.

Bagaimanapun, Dr Helmy menasihatkan agar buat sementara ini, ujian PCR yang negatif di negara asal perlu dilaksanakan dan hanya membenarkan penerbangan mereka yang negatif.

“Ujian secara rawak ke atas pengunjung dari China boleh dilakukan semasa ketibaan.

“Atau, mungkin boleh melaksanakan “test upon arrival” dan hanya yang negatif dibenarkan meneruskan perjalanan, jika kita mempunyai kapasiti mencukupi,” jelasnya.

Malah, layanan di pintu masuk negara adalah gambaran kepada kemajuan perkhidmatan awam negara.

“Dalam pada itu, perlu juga dipertimbangkan mewajibkan pengunjung memiliki insurans Covid-19 bagi menampung keperluan rawatan jika perlu.

“Status vaksin juga perlu diberikan perhatian. Bukan hanya melengkapi dos wajib, malah, kita perlu pertimbangkan hanya membenarkan pengunjung yang sudah menerima dos penggalak sahaja dibenarkan masuk,” katanya.

Justeru, Dr Helmy menegaskan agar pihak kerajaan tidak teragak-agak untuk mengetatkan dan meletakkan had lebih tinggi sekiranya terdapat tanda trend kes semasa meningkat.

Sementara itu, dengan amalan pencegahan yang semakin longgar, semua digalakkan terus bijak dalam mencegah diri sendiri dan keluarga daripada dijangkiti dengan memakai pelitup muka, memastikan pengudaraan yang baik dan mengasingkan diri jika bergejala.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN